Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTA 342 KETERLALUAN, MENINDAS RAKYAT – HUAZONG – WACANAKINI – 28/02/2022
02 Mar 2022

SERDANG – Cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dilihat keterlaluan dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Pindaan akta ini dijadualkan dibentang esok di Parlimen, yang akan menentukan nasib rakyat untuk masa depan.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Goh Tian berkata, hukuman penjara tujuh tahun jika langgar SOP sama seperti hukuman ke atas kesalahan Kanun Keseksaan amat melampau.

“Ia menindas rakyat khususnya golongan marhean, denda sehingga RM100,000 amat menindas rakyat.

“Rakyat yang gagal bayar denda RM1,000 pun sudah ramai masuk penjara. Inikan pula jika dilaksanakan pindaan akta ini.

“Bagi organisasi yang langgar SOP pula dikenakan sehingga RM2 juta, melampau.

“Saya tidak setuju kecuali digubal undang-undang yang bersesuaian dan boleh diterima semua rakyat,” katanya dalam ucapan majlis Memorandum Persefahaman antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Huazong dalam Membantah Pindaan Akta 342 di Wisma Huazong, di sini hari ini.

Turut hadir Tengku Azwil Tengku Abdul Razak dan Datuk Nadzim Johan.

Antara klausa pindaan Akta 342 Seksyen baharu 21a adalah membolehkan Ketua Pengarah mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang supaya mengambil apa-apa langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit.

Klausa ini memberi kuasa kepada pegawai berkenaan mengurung sesiapa sahaja sebagaimana difikirkannya disyaki berpenyakit tanpa ada bukti atau pengesahan di pusat khas kuarantin dan mengikut Seksyen baharu 14a dibawah akta sama, individu itu perlu menjalani pengasingan dan pengawasan bagi tempoh difikirkan patut dan pegawai diberi kuasa guna kekerasan.

Kegagalan mematuhi atau melanggar mana-mana seksyen dibawah Akta 342 ini adalah tiada penalti sebaliknya seseorang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya atau sesuatu pertubuhan perbadanan didenda tidak melebihi RM2 juta.

Klausa-klausa dalam pindaan akta ini amat membimbangkan dan menakutkan rakyat.

Tujuh tahun penjara sama seperti Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) mendatangkan kecederaan serius, Seksyen 363 KK kerana menculik, Seksyen 506 KK kerana ugutan jenayah, Seksyen 379 KK kerana menyamun dan Seksyen 393 KK kerana cuba mencuri.

Peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos baru-baru ini berkata, Sekyen 21a dan 14a yang dipinda itu bersifat ‘draconian’ (zalim) dan lebih teruk daripada SOSMA dari aspek perlindungan di salahguna.

“Pindaan Akta 342 dilihat mungkin lebih ‘zalim’ daripada Akta Keselamatan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau dikenali SOSMA.

“Tiada ‘check and balance’, perlu dipinda semula di mana mahkamah juga yang boleh beri keputusan penahanan dan bukannya hanya individu atau organisasi tertentu.

“Undang-undang ini boleh disalahgunakan sebagai ‘senjata’ politik, menangkap sesiapa yang bertentangan agenda politik. Kita mesti memastikan kemungkinan Ini tidak berlaku.

“Perkara ini boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan awam.

“Juga berlaku pemusatan kuasa oleh individu atau organisasi tanpa campur tangan mahkamah, ini sangat bahaya.

“Doktor boleh salah guna kuasa. Pegawai petugas dan lain-lain. Rakyat miskin tetap jadi mangsa,” katanya.

Bayangkan jika ada arahan wajib vaksin, jika ada yang tak nak divaksin atas apa alasan sekali pun selepas itu ditangkap dan masuk penjara sebab tak boleh bayar RM100,000, atau tak boleh bayar RM2 juta.

Artikel oleh: Wacanakini

AKTA 342 KETERLALUAN, MENINDAS RAKYAT – HUAZONG

https://www.wacanakini.com/2022/02/akta-342-keterlaluan-menindas-rakyat-huazong/