Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AKTIVITI AGAMA DI MRSM UNTUK MANTAPKAN JATI DIRI PELAJAR – ISMAWEB – 24/01/2020
24 Jan 2020

BANGI, 28 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Ibu bapa tidak sepatutnya melabelkan aktiviti keagamaan di sekolah berasrama kerajaan sebagai perkara negatif kerana amalan ini juga adalah kaedah bagi memperkasakan jati diri pelajar.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ibu bapa perlu beringat bahawa guru yang ditetapkan di sekolah juga mencari solusi yang terbaik dalam menghasilkan pelajar yang luar biasa.

“Amalan sunat yang dikatakan menjadi beban kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor mendapat perhatian PPIM apabila keluhan dari kalangan ibu bapa menegaskan bahawa mereka tidak menghantar anak bagi mendapatkan pendidikan ‘tahfiz’ di sekolah terbabit.

“Sememangnya ramai pelajar yang berjaya dalam kehidupan sekular, namun ada sesetengah mereka meninggalkan nilai moral kerana dianggap tidak penting.

“Persoalannnya, dari manakah nilai moral itu datang? Bukankah ianya dari ajaran agama Islam?,” kata beliau seperti dilapor media PPIM.

Terdahulu, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan keluhan ibu bapa – yang didakwanya mempunyai anak di MRSM – terhadap aktiviti keagamaan di sekolah berkenaan yang kononnya memberi kesan kepada prestasi akademik.

FMT yang memetik bapa pelajar dikenali sebagai Amir mendakwa, aktiviti keagamaan itu memakan terlalu banyak masa dan tenaga pelajar sehingga mereka jadi letih dan lesu di kelas atau masa mengulangkaji pelajaran.

Laporan portal berkenaan ternyata tular di media sosial, sekali gus menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan FMT sengaja membina premis untuk memburukkan agama Islam.

Nadzim Johan yang mesra panggilan Toqqi tidak melihat amalan yang dilakukan di sekolah terbabit menjadi satu halangan kepada pelajar mereka untuk terus maju ke hadapan.

“Mungkin amalan ini tidak diamalkan di semua sekolah MRSM. Adakah ibu bapa ini boleh membuktikan prestasi anak mereka merundum mendadak berpunca daripada amalan ini,” soalnya.

Lantaran itu, PPIM menyarankan ibu bapa mencari kaedah untuk sedar diri dan bukan hanya melihat dari prestasi akademik anak mereka sahaja.

“Bahkan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE)juga tidak perlu menggesa MARA untuk membasmi pengaruh agama di sekolah.

“Hal ini kerana mereka boleh mendaftarkan anak mereka ke sekolah lain supaya dapat memberi peluang kepada pelajar lain yang ingin menuntut di MRSM,” katanya.

Artikel oleh: ISMAWEB

AKTIVITI AGAMA DI MRSM UNTUK MANTAPKAN JATI DIRI PELAJAR

https://www.ismaweb.net/2020/01/24/aktiviti-agama-di-mrsm-untuk-mantapkan-jati-diri-pelajar/