

Terima kasih diucapkan kepada seluruh pasukan Kebun Bandar Villa Puteri (KBVP) atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang pelaksanaan aktiviti kebun. Program ini menandakan penutup rasmi aktiviti kebun bagi tahun 2025 setelah memasuki minggu ke-31 pelaksanaannya.
Aktiviti gotong-royong membersihkan kebun telah dilaksanakan dengan penglibatan aktif semua ahli. Majlis turut diserikan dengan ucapan ringkas oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi yang menegaskan komitmen memperkasa kebun bandar sebagai medium manfaat kepada masyarakat, meskipun berdepan kekangan kewangan. Toqqi turut menyeru sokongan pihak kerajaan bagi memudahkan penambahbaikan kebun bandar termasuk projek berkaitan kelulut, serta mengumumkan pelancaran inisiatif baharu yang disifatkan sebagai program “Luar Biasa” bagi membantu golongan memerlukan melalui kerjasama komuniti tempatan dan antarabangsa.
Toqqi turut menekankan kepentingan integriti, kualiti dan kejujuran dalam usaha pertanian, selain mengetengahkan potensi tanaman seperti durian, kelapa dan nenas sebagai fokus pembangunan berterusan. Program diakhiri dengan sesi jamuan santai bagi mengeratkan silaturahim.
Semoga semangat kerjasama dan usaha ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada tahun 2026, Insya-Allah.









