Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ALI MAJU KINI PRESIDEN PRESMA – HARIAN METRO – 24/09/2019
25 Sep 2019

TUMPU kepada program kebajikan dan harga patut. Itu fokus Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang baru, Datuk Jawahar Ali Taib Khan apabila diumumkan menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini.

Pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju itu berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk menjaga komuniti peniaga dan pengusaha restoran muslim di seluruh negara dan menggunakan platform itu untuk kerja amal seperti sebelum ini.

Katanya, beberapa isu seperti kebersihan dan harga berpatutan selain program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama beberapa agensi kerajaan akan diberi perhatian dalam usaha membantu masyarakat di negara ini.

“PRESMA akan bekerjasama dengan beberapa kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan bukan saja aspek perniagaan, tetapi perkara lain turut diambil kira.

“Kami akan memberikan cadangan kepada kerajaan berhubung isu pekerja asing khususnya di restoran kerana tidak mahu ada isu timbul selain membantu pekerja tempatan. Saya harap dapat berkhidmat dengan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga menjadi rakan strategik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam program foodbank berkata, ia akan diteruskan dan diperkemas memandangkan ahli PRESMA ada di seluruh negara.

Menurutnya, ketika ini PRESMA mempunyai lebih 4,000 ahli terdiri daripada pengusaha restoran muslim dan mereka komited untuk mewujudkan situasi menang-menang dalam perniagaan.

“Saya tegaskan, kita bukan saja bercakap soal wang ringgit, tetapi mencari keberkatan. Kami mahu pelanggan sokong dan doakan agar kami semua berjaya di dunia mahu pun akhirat.

“PRESMA akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, memainkan peranan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi memastikan isu kepenggunaan ditangani dengan baik,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ALI MAJU KINI PRESIDEN PRESMA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/500217/ali-maju-kini-presiden-presma