Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ALONG SEKARANG MAKIN ‘MENGGANAS’ – PPIM – BERITA HARIAN – 21/01/2020
21 Jan 2020

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan sindiket ceti haram atau along pada masa ini semakin ‘mengganas’ dan semakin mencabar undang-undang negara.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata ia selepas pihaknya menerima aduan seorang wanita dikenali sebagai Fauziah, 52, yang mendakwa kediamannya di Ampang, di sini, dibaling cat merah dan botol minyak dipercayai molotov cocktail walaupun sudah melunaskan pinjaman wang.

“Awal tahun ini, mangsa ada menyatakan kepada along untuk meminjam wang sebanyak RM100,000 namun hanya diberikan RM690 tanpa persetujuannya. Fauziah kemudian bertindak memulangkan wang berkenaan.

“Walaupun along sudah menerima wang itu, mereka menuntut pembayaran tambahan RM1,500 sebelum meminta lagi RM13,500 menjadikan jumlah keseluruhan RM15,000. Apabila mangsa tidak bersetuju dengan tuntutan terbabit, kediamannya dibaling cat dan botol minyak.

“Along zaman sekarang tiada sifat takut dan seolah-olah mencabar sistem undang-undang negara ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, institusi kewangan juga perlu memainkan peranan dalam hal ini dengan bersikap lebih berperikemanusiaan ketika menilai permohonan pinjaman wang setiap individu bagi memastikan mereka tidak terjerat dengan sindiket along.

“Saya faham setiap bank ada kriteria dan undang-undangnya, tapi perlu ada sifat kemanusiaan juga.

“Kita pernah terima aduan berhubung bank melelong rumah selepas pinjaman yang dibuat tidak dibayar dalam tempoh sebulan. Baru sebulan, beri amaran atau dapatkan maklumat lanjut daripada peminjam.

“Kalau rumah itu menjadi tempat tinggal 10 orang, ke mana mereka mahu pergi,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

ALONG SEKARANG MAKIN ‘MENGGANAS’ – PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/01/648627/along-sekarang-makin-mengganas-ppim