Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ANALISIS: BILA KIASU MENGATASI HARMONI, KEJUJURAN DALAM BERNIAGA – WACANA.MY – 21/05/2021
21 May 2021

INI kisah Kak Siti Ayam Penyet. Ia jadi tular beberapa hari lalu. Dalam tular itu, ia menyebut – Nama kedai Melayu. Owner Cina. Ramai org Melayu tak tau main order je. Bukan mualaf… itulah antara isi kandungan screenshot yang menjadi tular tersebut. Teksnya mudah. Ringkas. Tapi padat dengan mesej. Ini satu lagi pendedahan perlakuan peniaga yang tidak jujur dan tidak harmoni dalam urusan perniagaannya. Niatnya jelas. Dia opportunis dan memanipulasi nama Melayu untuk mempengaruhi pelanggan Melayu.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid meninjau sebuah kedai menjual peralatan elektronik dan komputer di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sungguh! Impak perbuatan peniaga ini sangat serius. Ini bukan perkara main-main. Ini bukan hal biasa-biasa. Ini tidak dilihat lagi sebagai strategi berniaga. Ini satu perbuatan untuk mengelirukan pelanggan. Kalau hendak dikatakan sebagai strategi dan pelan niaga, banyak lagi cara boleh dilakukan tetapi tetapi bukan dengan cara yang mengelirukan. Apatah lagi, pelanggan tidak melihat premis perniagaan itu kerana urusan tempahan melalui aplikasi pesanan dalam talian.

Persoalan di sini, kenapa terus ada peniaga yang ‘menipu’ pelanggan? Khususnya, Melayu dan Muslim apabila mereka menamakan produk dengan nama Melayu atau nampak Islamik. Di mana moral mereka? Tahap mana etika mereka. Sejauh mana kefahaman dan melazimkan rukun negara termasuk bab Kesopanan dan Kesusilaan? Sikap kiasu dan pentingkan diri sendiri menjadi asas mengaut untung. Kenapa harus ada niat ‘helah dan muslihat’ dari sisi yang negatif untuk memperdaya dan mengelirukan pelanggan?

Malah kiasu, helah, muslihat, perdaya dan mengelirukan itu digabungkan untuk mewujudkan keyakinan bahawa produk mereka adalah sebagaimana tanggapan pelanggan iaitu produk Muslim, atau produk yang halal, mahupun produk yang serba-serbi tiada keraguan atau penipuan?

Seperti mana kisah ayam penyet, ada beratus lagi produk di pasaran yang menggunakan taktik sama. Anda pasti ingat kisah tular serbuan pihak berkuasa ke atas premis yang membuat kicap, cuka, tauchu dan sos yang menggunakan logo Halal palsu. Premis terbabit juga kotor. Tidak ada standard dalam pengilangannya. Masih ramai pengusaha produk makanan tidak mahu tahu pengguna Muslim tidak boleh disekutukan dengan produk yang tidak halal atau haram khususnya berkaitan dengan babi.

Sifat kiasu dan negatif ini turut ada dalam diri peniaga Muslim tertentu. Bagi mereka ialah mengaut untung. Mereka menggunakan jenama Melayu atau yang Islamik untuk produk mereka. Walaupun produk itu sebenarnya barang yang dibeli secara pukal dari pengilang kiasu dan kemudian mereka beri jenama baharu dan bungkus semula.

Muhammad Shamsuddin Paijan, Ketua Armada BERSATU Johor.

Pelanggan juga mudah terperdaya bila tertera nama syarikat atau enterpris Bumiputera yang membungkusnya. Janji nama Melayu, itu sudah cukup meyakinkan produk itu halal. Pelanggan tiada hal atau tiada masalah walaupun mereka hanya membungkusnya semula sahaja tanpa mahu ambil tahu apa benda yang dibungkusnya!

Jadi, tidak salah kata pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menasihatkan supaya pengguna meneliti dan memilih perniagaan yang benar-benar diyakini bersih, mempunyai sijil penarafan kebersihan dari pihak PBT, memiliki lesen perniagaan yang sah serta mempunyai sijil taraf halal terutamanya bagi pengguna yang beragama Islam.

Mengulas kejadian itu, Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan, kesal dengan tindakan peniaga yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat majmuk dan ini perkara ini perlu dikenakan tindakan tegas.

“Mengguna pakai nama kedai makanan Melayu tetapi disediakan oleh orang bukan Islam adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian kerana ini mengelirukan.

“Sesuatu perniagaan perlu melalui prosedur ditetapkan dan tidak menggelirukan pembeli sehingga akhirnya menjadi isu sensitif dalam masyarakat majmuk sehingga sukar dikawal. Sama-sama kita menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang telah kita bina bersama selama ini,” katanya.

Mengulas kejadian yang sama, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihati pengguna untuk lebih peka dalam memilih barangan khususnya makanan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna harus utamakan keselamatan diri dan lebih bijak dalam urusan harian.

Datuk Nadzim Johan

“Nak salahkan bangsa beragama lain, mereka tak faham soal halal haram. Mereka hanya kejar keuntungan baik penjual atau penyedia perkhidmatan itu,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Tambah Nadzim, pengguna perlu menhapuskan kepercayaan terhadap penyedia perkhidmatan yang tidak ada sijil halal.

“Mereka sekadar menghantar pesanan. Jadi, syarikat mereka tidak perlu sijil halal. Kita sebagai pengguna sudah banyak kali diingatkan jenama seakan nama Muslim tidak menjamin keselamatan dan tahap halal produk makanan itu,” katanya.

Nadzim turut mengingatkan pengguna tentang beberapa kes sebelum ini yang tular seperti syarikat yang menjual produk kuih pau, bihun, mee kuning dan banyak lagi yang menggunakan nama orang Islam tetapi dimiliki syarikat bukan Muslim.

“Bukan nak kata bukan Islam ini secara automatik tidak halal. Tetapi kita yang nak makan, nak masuk perut kita, kenalaha kita jaga. Jangan harapkan peniaga nak jaga kita, mereka peniaga keutamaan mereka ialah keuntungan sedangkan umat Islam dituntut supaya mencari yang halal. Mencari yang halal itu adalah wajib,” katanya.

Untuk merubah senario dan dilema ini, ia memerlukan keazaman politik pihak kerajaan. Untuk merealiasikan usaha ini, ia turut komitmen umat Islam sendiri. Kemudian, kalangan pemodal Muslim wajar menyatukan usaha, kepakaran dan kewangan untuk menggerakkan perusahaan mengeluarkan produk untuk keperluan, khususnya pengguna Islam.

Gerakan mempromosi membeli produk Muslim wajar dipertingkatkan. Biarpun berdepan dengan ‘serangan balas’ pihak yang merasakan kiasu mereka terjejas, in adalah fardu kifayah kerana mencari yang halal itu wajib. Kuasa pengguna Islam mesti digembeleng dan diterjemahkan sebagai faktor penentu dan pendesak di pasaran.

Selagi usahawan Islam tidak ada kesedaran dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan pengguna Islam sendiri, selagi itu isu dan kiasu seperti kes Kak Siti Ayam Penyet; tiada kesudahan. Selagi ada pengusaha dan peniaga yang tidak memikirkan soal harmoni, masyarakat majmuk dan sensitiviti kaum maka yang rugi, diperbodoh dan terus diperdaya ialah umat Islam sendiri. Kesudahannya, ketidakjujuran mereka telah menjadi darah daging kita!

Artikel oleh: Wacana

ANALISIS: BILA KIASU MENGATASI HARMONI, KEJUJURAN DALAM BERNIAGA

https://wacana.my/analisis-bila-kiasu-mengatasi-harmoni-kejujuran-dalam-berniaga/