Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
APLIKASI YAKIN, PLATFORM INDIVIDU DAPATKAN PERKHIDMATAN PPIM & SUMBER GAYA HIDUP MUSLIM – SOYACINCAU – 16/06/2022
24 Jun 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkolaborasi dengan Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) untuk membangunkan aplikasi mudah alih rasmi PPIM yang dikenali sebagai Yakin. Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Aplikasi ini boleh bantu anda menerapkan gaya hidup muslim dalam kehidupan seharian dengan mudah berdasarkan ciri-ciri yang tersedia di dalamnya. Di bawah tab Ibadah, ciri yang disediakan adalah waktu solat, laungan azan, doa harian, tasbih, arah kiblat, kalkulator zakat, tazkirah dan kalendar Islam.

Selain itu, di dalam aplikasi ini juga ada halaman disediakan untuk anda menderma. Menurut Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, kempen-kempen derma yang terdapat di dalam aplikasi ini telah disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh pihaknya sebelum dikongsikan pada aplikasi.

Selain daripada ciri keagamaan, anda boleh juga dapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM menerusi aplikasi ini. Antaranya, melalui tab halaman utama, anda boleh beri aduan jika terlibat dengan isu berkaitan hal ehwal pengguna atau jadi mangsa ahlong serta ceti haram. Di samping itu, bahan bacaan dan video yang diterbitkan oleh PPIM juga boleh diakses melalui halaman ini.

Menurut Datuk Nadzim Johan, aplikasi ini bukan sahaja mensasarkan pengguna, malah ia juga dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniaga yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka kepada kumpulan pengguna.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Puan Nina Alyssa, mereka juga sedang merancang untuk memperkenalkan banyak lagi ciri di dalam aplikasi Yakin. Ia merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang.

Ini merupakan aplikasi gaya hidup muslim kedua, yang saya jumpa mempunyai perkhidmatan untuk membuat aduan dan dapatkan bantuan bagi sebarang masalah peribadi. Sebelum ini, saya ada temuinya melalui aplikasi Hijrah Diri – Homoseksualiti yang disediakan oleh JAKIM. Tapi malangnya, aplikasi itu telah dibuang dari Play Store.

Jika anda berminat untuk menggunakan aplikasi Yakin, ia boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store, App Store dan Huawei AppGallery.

Artikel oleh: SoyaCincau

APLIKASI YAKIN, PLATFORM INDIVIDU DAPATKAN PERKHIDMATAN PPIM & SUMBER GAYA HIDUP MUSLIM

https://bm.soyacincau.com/2022/06/16/aplikasi-yakin-dapatkan-perkhidmatan-ppim-sumber-gaya-hidup-muslim/