KUALA LUMPUR: Peluang kedua yang sebenar. Inisiatif itu diambil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang ‘menjemput’ bekas banduan dari Penjara Kajang, diberi latihan dan kerja untuk membolehkan mereka mengubah nasib dan masa depan.
Menerusi program Insan Sedia Berjasa (ISB) yang dimulakan dua bulan lalu, seramai 20 bekas banduan ditempatkan di beberapa premis perniagaan sekitar Lembah Klang termasuk restoran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejabat untuk memulakan hidup baharu.
Ia memberikan harapan betapa masih ada pihak yang menerima mereka selepas menempuh pengalaman pahit, keluar masuk penjara berulang kali kerana tiada peluang diberikan menyebabkan mereka terus memilih jalan salah.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif berkenaan diambil selepas pihaknya mengadakan beberapa siri pertemuan dengan banduan serta keluarga dan mendapati wujud keperluan mendesak untuk membantu bekas banduan di negara ini.
Katanya, pemerhatian pihaknya mendapati, kebanyakan bekas banduan akan kembali terjebak dengan ‘kerja lama’ kerana tiada sokongan atau peluang diberikan kepada mereka untuk berubah selepas keluar dari penjara.
“Ini satu cara kita untuk membantu kerajaan mengatasi lambakan banduan di penjara. Kita ambil mereka, beri latihan dan beri kerja. Kita juga adakan penjodohan pekerjaan bersama majikan untuk memastikan mereka sesuai bekerja di satu-satu tempat.
“Saya juga sudah menulis surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memohon agar diberikan pertimbangan memohon lesen penjaja kerana mereka hanya perlukan peluang,” katanya.
Pemilik Ali Cafe Tomyam, Ali Syed Mohd, 53, antara majikan terawal yang menyokong ISB dan mengambil lima bekas banduan untuk bekerja dan membantu perniagaan di restoran miliknya sejak sebulan lalu.
Menurutnya, ia sebahagian tanggungjawab yang perlu dipikul demi memastikan mereka tidak tergelincir semula dan melakukan kesalahan sama berulang kali sehingga menggadaikan masa depan.
“Alhamdulillah sejak mereka bekerja di sini, saya lihat tidak ada masalah sebenarnya. Sebaliknya mereka lebih tekun dan berdisiplin dalam kerja mungkin kerana menghargai peluang yang diberikan.
“Insya-Allah, saya akan ambil lagi mereka dan latih untuk menjadi peniaga sama seperti saya. Yang penting, mereka mahu berubah dan menyesali kesalahan sebelum ini.
“Bagi saya, sama ada mereka bekas banduan atau tidak, itu tidak penting yang mustahaknya kesungguhan untuk menjadi manusia berguna,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya juga menyokong usaha berkenaan dan akan memberi peluang kepada bekas banduan bekerja di restoran milik ahli persatuan itu.
Katanya, selain bekerja untuk mendapatkan gaji, ia juga sebahagian tuntutan agama membantu sesama insan, apatah lagi ketika banyak pihak mengambil sikap acuh tak acuh untuk mengambil pekerja dari kalangan bekas banduan.
Nekad terus berubah
“SAYA menangis apabila dapat tahu ada pihak sudi memberikan kerja kepada bekas banduan seperti saya kerana sebelum ini saya tiada pilihan sehingga terpaksa buat kerja kotor semula untuk mendapatkan wang.
Sejak 2015, saya keluar masuk penjara atas kesalahan samun sebanyak enam kali kerana setiap kali bebas, amat sukar untuk mendapatkan kerja walaupun sebagai tukang cuci pinggan kerana status bekas banduan.
Sampai satu ketika, saya rasa tidak ada lagi peluang buat bekas banduan seperti saya dan rakan untuk kembali berbakti kepada keluarga dan masyarakat selepas merasai sendiri bagaimana masyarakat memandang sinis kepada kami.
Ketika dimaklumkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan melatih, memantau dan menyediakan peluang, saya seperti tidak percaya ada pihak sanggup menerima kami untuk bekerja, saya rasa seperti hidup semula kerana pengalaman sebelum ini membuatkan saya berputus asa.
Selama sebulan di PPIM, Datuk Nadzim (Johan) bersama aktivis lain banyak memberi dorongan dan kata-kata semangat kepada kami supaya teruskan perubahan yang baik dan jangan lagi terpedaya dengan pujukan untuk kembali buat jahat.
Alhamdulillah, keluarga juga gembira dengan perubahan saya dan saya nekad untuk terus berubah, buat yang terbaik untuk diri sendiri dengan mencari sebanyak mungkin pengalaman untuk membantu orang lain pula selepas ini.”
Sabri, 25 (kesalahan samun)
Majikan memahami
“Selama dalam penjara sejak 2005, saya tak pernah terfikir satu hari akan keluar dan mempunyai pekerjaan yang baik, majikan yang memahami serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang sudi mendengar rintihan bekas banduan.
Apa yang saya tahu, kemungkinan untuk saya kembali ke penjara adalah tinggi kerana bila kita keluar, semua akan memandang kami seperti sampah, jauh sekali untuk mengambil kami bekerja.
Tetapi ISB mengubah tanggapan itu dan saya rasa bertuah kerana ada pihak yang menerima kami seperti keluarga sendiri, tidak meminggirkan walaupun saya sudah empat kali keluar masuk penjara kerana pelbagai kesalahan.
Saya akui, dulu saya terjebak kerana pengaruh rakan-rakan dan ingin mendapatkan duit mudah tanpa memikirkan masa depan keluarga termasuk dua anak saya.
Peluang ini memberikan saya keyakinan meneruskan hidup dan saya amat berharap agar masyarakat tidak memandang hina bekas banduan seperti kami dan berilah peluang untuk kami menebus kesalahan lalu.
Walaupun bekerja sebagai pembantu restoran, saya akan buat yang terbaik untuk balas kepercayaan majikan yang tidak putus-putus memberikan nasihat dan tunjuk ajar walaupun tahu latar belakang saya sebelum ini.”
Amrin, 34 (pecah rumah, miliki barang curi)
‘Saya hanya minta satu peluang’
“Selama ini saya hanya minta satu peluang dan Allah makbulkan, saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang tawarkan peluang itu ketika orang lain memang tak bagi harapan.
Sebulan sebelum saya bebas, pihak penjara ada tanya mengenai peluang untuk bekerja, dan saya maklumkan saya mahu bekerja, asalkan dapat duit yang halal.
Setakat ini saya membantu PPIM untuk kerja-kerja di pejabat dan walaupun bergaji kecil saya rasa cukup dan tenang kerana dikelilingi individu positif dan sentiasa mengambil berat, tidak seperti sebelum ini.
Dulu saya pernah hidup mewah dengan kerja haram, tetapi kali ini, peluang ini menjadikan saya insaf betapa masih ada orang yang sayang dengan bekas banduan dan sudi berkawan.
Saya berdoa supaya kekal begini sampai bila-bila dan bersyukur kerana keluarga juga menyokong saya di sini dan mereka mahu saya membalas jasa dengan melakukan perkara yang baik.
Bila melalui pengalaman dalam ISB ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana tidak mahu menghampakan mereka yang memberikan kehidupan baru kepada saya dan rakan-rakan.”
Halim, 50, (pecah premis, samun)
Artikel oleh: Metro Ahad
BANDUAN REBUTAN: PELUANG KEDUA
https://www.hmetro.com.my/utama/2019/10/506495/peluang-kedua-metrotv