KUALA LUMPUR: Terdapat bank dan institusi kewangan yang memberi pinjaman kediaman kepada individu culas membayar pinjaman pendidikan kerana pemohon memiliki pendapatan kukuh serta kemampuan dalam nisbah khidmat hutang (DSR).
Ketua Pegawai Eksekutif RAM Credit Information (RAMCI), Dawn Lai, berkata hutang pendidikan dilihat sebagai perspektif berbeza apabila pihak bank lebih mempertimbangkan permohonan pembiayaan secara menyeluruh dalam menilai keupayaan pemohon memenuhi komitmen pembayaran.
Justeru, katanya, dalam isu permohonan pembiayaan kediaman oleh peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), pihak bank akan turut menilai sekiranya pemohon ada usaha untuk membayar balik.
“Apa yang penting adalah pendidikan kesedaran kepada golongan muda, tidak kira pinjaman pendidikan atau hutang bank sekali pun, mereka perlu ada tanggungjawab membayarnya secara berkala, maka tiada isu untuk tidak memberi mereka peluang membeli rumah pertama.
“RAM masih memerhati rapat implikasi isu PTPTN ini, bukanlah kerana ke arah menyelamatkan industri yang berdepan lambakan hartanah, namun yang dibincangkan adalah untuk menyediakan pinjaman kepada kelompok yang benar-benar layak.
“Benar, kita perlu selesaikan masalah lambakan hartanah yang tidak terjual, namun untuk memaksa pengguna membeli hartanah itu sedangkan mereka tidak mampu adalah tidak wajar bagi pihak bank atau kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran CreditScore iMoney berbahasa Melayu di sini, hari ini.
CreditScore iMoney adalah kemudahan dalam talian dwi-bahasa yang ditawarkan kepada pengguna untuk menyemak skor kredit masing-masing menerusi laporan analisis kedudukan kewangan secara percuma.
Pelancaran bersempena kempen #JomSkor itu turut menyediakan nasihat peribadi kepada pengguna untuk memperbaiki tahap kredit dan cara untuk meraih penjimatan daripada produk kewangan perbankan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iMoney, Mitul Lakhani, berkata berdasarkan data iMoney, empat daripada 10 pengguna CreditScore iMoney memiliki skor penilaian rendah dan wajar berdepan kesukaran ketika mendapatkan pinjaman dan permohonan kad kredit.
Katanya, matlamat pihaknya adalah untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia berdaftar dengan kemudahan itu bagi mendapatkan skor kredit masing-masing supaya memahami tahap kewangan dan menguruskan hal kewangan dengan lebih bijak.
“Melalui #JomSkor dan kemudahan CreditScore Bahasa Malaysia, kami harap dapat meluaskan jangkauan kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
BANK NILAI USAHA BAYAR BALIK PINJAMAN PENDIDIKAN
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/07/585684/bank-nilai-usaha-bayar-balik-pinjaman