Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BANK TAK BOLEH LEPAS TANGAN, WAJIB PULANGKAN DUIT PELANGGAN – KOSMO – 23/08/2022
23 Aug 2022

PETALING JAYA – Pihak bank didesak supaya membayar se­mula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.

Gesaan yang dibuat oleh beberapa persatuan pengguna itu juga menuntut supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan pasukan khas untuk me­lakukan siasatan terhadap pihak bank yang terlibat.

Timbalan Presiden Gabu­ngan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pihak bank tidak boleh lepas tangan dan menyalahkan pelanggan semata-mata apabila scammer atau penggodam ‘merompak’ duit pendeposit dalam akaun mereka.

“Selama ini orang ramai menaruh kepercayaan bahawa wang mereka selamat disimpan di dalam bank, tetapi apabila berlaku kelemahan dalam sistem sekuriti perbankan, pihak ber­kenaan perlulah bertanggungjawab.

“Perlu ada siasatan dan ketelusan sama ada kehilangan wang pelanggan disebabkan kecuaian sistem keselamatan. Kalau betul, bank wajib bertanggungjawab untuk pulangkan semula duit pelanggan.

“Tidak boleh terus mengeluarkan kenyataan bahawa kehilangan wang bukan kesalahan bank, sebaliknya pelanggan pula yang didakwa menyebabkan maklumat mereka dicuri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Yusof menegaskan, siasatan kes kehilangan wang pendeposit tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada bank terlibat atau pihak berkuasa lain, sebaliknya ada pihak se­perti Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut melakukan siasatan.

Kehilangan wang dalam akaun bank akan memberi tekanan kepada mangsa yang mengalami kerugian wang ringgit. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, BNM perlu mengkaji semula perihal kebertanggungjawaban bank komersial terhadap isu kehilangan wang pelanggan yang semakin kerap berlaku.

Tegas beliau, pihak bank tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian yang dialami pelanggan mereka.

“Keadaan hari ini cukup me­rungsingkan, kena perlu segera berubah. Lama-kelamaan yang kena adalah pengguna. Sukar pengguna hendak melawan de­ngan kuasa yang amat besar ini dalam menuntut hak mereka.

“BNM kena ambil tindakan bersungguh-sungguh supaya bank-bank akan lebih menghormati etika perbankan dan juga ada sifat kemanusiaan,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, Pakar Perunding Perubatan, Dr. Rafidah Abdullah kini sedang mempertimbangkan untuk me­ng­ambil tindakan undang-undang terhadap CIMB setelah wang simpanan sebanyak RM13,000 hilang dalam akaun banknya itu.

Dr. Rafidah mendakwa, kehilangan wang simpanannya itu berlaku pada pukul 2 pagi, 19 Ogos lalu menerusi tiga transaksi yang mencurigakan.

Beliau mendakwa tidak menyedari tiga transaksi tersebut kerana tidak menerima nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) daripada pihak bank.

Sementara itu, CIMB Bank dalam satu kenyataan pula me­nyarankan agar pelanggan sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melin­dungi diri daripada jenayah siber.

“Jangan kongsi butiran peri­badi, TAC atau kata laluan dengan sesiapa sahaja atau masukkan butiran tersebut pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks,” kata CIMB.

Artikel oleh: Kosmo

BANK TAK BOLEH LEPAS TANGAN, WAJIB PULANGKAN DUIT PELANGGAN

https://www.kosmo.com.my/2022/08/23/bank-tak-boleh-lepas-tangan-wajib-pulangkan-duit-pelanggan/