Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BANTERAS JUDI HARAM KE AKAR UMBI – PPIM – MALAYSIA GAZETTE – 17/06/2019
17 Jun 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak polis dan kerajaan Malaysia mengadakan sebuah pusat saluran maklumat bagi membolehkan rakyat menyertai kempen banteras judi haram.

“Cadangan ini adalah bagi membolehkan data-data dan butiran mereka yang terlibat dalam industri dikumpul dan diselidik bagi mengenalpasti mereka dan kuncu-kuncu mereka,” kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Dalam kenyataan hari ini, Nadzim menyokong penuh komitmen Ketua Polis Negara dalam membanteras jenayah judi.

Nadzim berkata, PPIM yang telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap penularan masalah sosial itu amat bersetuju dengan pendapat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador.

Menurut Nadzim, semangat dan dedikasi Hamid dalam menentang gejala sosial itu amat dipuji.

“Kami berasa amat bangga apabila akhirnya seorang Ketua Polis memahami impak dan kesan masalah judi ini,” katanya dalam sebuah kenyataan, hari ini.

PPIM yang sinonim dengan membanteras penindasan oleh Ahlong di negara ini telah lama menyaksikan bagaimana gejala dan tabiat judi ini menghancurkan masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

“Kami menyokong seratus peratus usaha ketua polis negara yang mahu membanteras aktiviti perjudian dan bersetuju bahawa judi adalah punca segala masalah,” katanya.

Tambah Nadzim, PPIM sedia berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan Polis dalam usaha membanteras judi dan jenayah lain di negara ini.

“Sudah tiba masanya rakyat negara ini mengembalikan maruah kita dan bertindak bersama-sama menghapuskan judi dan seterusnya jenayah lain,” katanya.

PPIM berpendapat kempen bersungguh-sungguh membanteras sindiket judi haram hingga ke akar umbi perlu disambut dengan kerjasama oleh semua rakyat Malaysia bagi menentukan perkara ini dapat ditangani.

Dalam sebuah temuramah eksklusif bersama Utusan baru-baru ini, Hamid menyatakan dedikasi dan komitmen dalam membanteras aktiviti judi haram yang dilihat sebagai punca segala masalah jenayah.

Di dalam video berdurasi enam minit itu, Hamid berkata, pihaknya akan lebih tegas terhadap pemilik pusat judi dan semua anggotanya diberi amaran supaya memutuskan kerjasama dengan sindiket perjudian. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

BANTERAS JUDI HARAM KE AKAR UMBI – PPIM

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/17/banteras-judi-haram-ke-akar-umbi-ppim/