KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kebanyakan pesalah jalan raya yang mempunyai tunggakan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah mereka yang mempunyai lebih daripada satu saman, malah ada sehingga 10 saman tidak berbayar.
Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Arifin Che Mat bimbang keputusan membatalkan 3.1 juta saman AES dilihat memberi mesej yang salah apabila pesalah trafik berulang ini dilepaskan begitu sahaja.
Malah katanya, keputusan itu juga akan menyebabkan kerajaan dilihat pilih kasih kerana mengutamakan pihak bersalah berbanding yang patuh pada undang-undang dengan segera melunaskan bayaran saman mereka sebelum ini.
“Kebanyakan yang ada saman AES tertunggak mempunyai lebih daripada satu, malah ada sampai 10 saman tak berbayar. Kalau AES sebelum ini hadir dengan sistem ‘demerit’ tak apalah juga kerana pesalah masih terkesan walaupun tidak perlu bayar saman.
“Namun nampaknya mereka dilepaskan begitu sahaja. Kita tak mahu kerajaan dilihat melepaskan mereka yang sudah biasa membuat kesalahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kesemua 3.1 juta saman AES sejak 2012 hingga 31 Ogos ini yang bernilai RM435 juta akan dibatalkan serta-merta.
Operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini.
Mengulas lanjut, Arifin mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan sistem ‘demerit’ yang menurut beliau mampu meningkatkan disiplin pemandu di jalan raya.
“Malah, kerajaan juga boleh wujudkan kursus pemulihan untuk pengguna jalan raya yang banyak melakukan kesalahan supaya disiplin mereka dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berpendapat, sistem AES dengan format yang diguna pakai sekarang langsung tidak efektif dalam mengurangkan kemalangan jalan raya.
Hal ini kerana, menurut beliau, kedudukan kamera AES yang boleh diketahui umum melalui pemberitahuan di papan tanda dan pengesan dalam sistem navigasi menyebabkan pemandu menjadi hipokrit dengan memperlahankan kenderaan di kawasan yang ada kamera AES, namun meningkatkan kelajuan di kawasan yang tiada kamera AES.
Sehubungan itu kata beliau, tindakan kerajaan memindahkan operasi AES kepada JPJ juga tidak akan mendatangkan hasil selagi format tersebut tidak diubah.
“Saya menyeru kerajaan untuk membuat kajian semula supaya mekanisme lebih efektif dapat dikenal pasti,” katanya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
BATAL SAMAN BERI MESEJ SALAH
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/batal-saman-beri-mesej-salah-1.731903#ixzz5OgZeucxY