Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERSEDERHANA DALAM BERBUKA PUASA – UTUSAN MALAYSIA – 10/6/2017
10 Jun 2017

Dalam apa juga perkara, bersederhana adalah amalan yang mendatangkan kebaikan. Begitu juga halnya dengan penyediaan juadah untuk berbuka puasa bagi mengelakkan berlaku pembaziran.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika diminta mengulas tentang pembaziran makanan di bulan puasa berpandangan, kesedaran masyarakat berkaitan isu tersebut masih rendah.

“Keadaan itu terbukti apabila segelintir penganjur termasuk pihak hotel yang tidak mengawal, malah menawarkan juadah berbuka secara berlebihan. Keadaan itu akhirnya menjurus kepada pembaziran secara besar-besaran.

“Sebaiknya, terapkan kesederhanaan dalam menawarkan juadah berbuka. Kalau boleh, sediakan secara ala kadar dan berdasarkan kiraan jumlah pengunjung yang datang untuk majlis berbuka puasa,” katanya yang turut menyarankan pihak penganjur memanfaatkan lebihan makanan yang tidak disentuh dengan bersedekah kepada golongan memerlukan.

Selain itu, Nadzim turut menggesa peniaga bazar Ramadan tidak berlebihan dalam menjual juadah berbuka.

Katanya, peniaga perlu mengamalkan konsep yang sama iaitu bersederhana dalam perniagaan mereka.

“Tidak dinafikan, ada segelintir peniaga mahu mengelak kerugian dengan cara yang salah iaitu menjual semula lebihan makanan kepada pelanggan pada keesokan harinya. Ini boleh mengundang risiko terhadap kesihatan pelanggan,” katanya.

Justeru, katanya, jumlah makanan yang dijual perlu diselaraskan dengan anggaran kehadiran pengunjung.

“Oleh itu, peniaga perlu rasional ketika menyediakan makanan untuk dijual,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan unit khas bagi memantau tahap keselamatan dan kesihatan penyediaan makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Katanya, langkah itu mampu melindungi pelanggan daripada risiko keracunan makanan.