Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BINCANG HAPUSKAN CETAK ROMPAK DIGITAL – HARIAN METRO – 10/07/2024
11 Jul 2024

Kuala Lumpur: Isu cetak rompak digital menggunakan aplikasi atau perisian tidak sah semakin membimbangkan membabitkan pelbagai kandungan pornografi, judi dalam talian dan karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran.

Perkara itu didedahkan dalam satu perbincangan rasmi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali Altimet dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabat Finas, di sini, semalam.

Azmir berkata, langkah proaktif perlu diaktifkan dengan segera bagi menangani isu cetak rompak yang dijual secara berleluasa kepada orang ramai selepas industri media dan hiburan Malaysia dianggar mengalami kerugian sebanyak RM3 bilion akibat jenayah cetak rompak.

“Hasil perbincangan yang diadakan kami berjaya mencapai satu keputusan untuk melaksanakan kempen kesedaran mengenai penjualan peranti televisyen atau lebih dikenali sebagai Android Box yang mengandungi kandungan pornografi, judi dalam talian dan karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran.

“Langkah ini dibuat bagi memberi kesedaran kepada orang ramai yang sudah menggunakan peranti itu mengenai bahayanya kandungan-kandungan yang tidak ditapis dan boleh diakses oleh sesiapa saja termasuk kanak-kanak tanpa pengawasan mereka.

“Finas akan bekerjasama dengan Altimet yang akan bertindak sebagai jurucakap bagi menghebahkan di seluruh platform media sosial, stesen televisyen dan panggung wayang mengenai penggunaan peranti penstriman haram ini.

“Sementara itu, peranan PPIM pula akan membantu Finas dalam menghasilkan kandungan atau mesej mengenai isu cetak rompak ini secara lebih meluas kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Azmir, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan wakil platform e-dagang, Shopee dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu cetak rompak yang dijual secara berleluasa di platform itu.

“Saya sudah meminta pihak pelesenan Finas untuk mengadakan pertemuan sekali lagi dengan pihak Shopee untuk bertanyakan isu serta masalah cetak rompak yang dijual di platform itu.

“Melalui perjumpaan itu nanti kami akan membincangkan apakah peranan dan tindakan yang boleh diambil oleh platform e-dagang itu dalam menangani isu cetak rompak ini.

“Saya percaya mereka juga sedar mengenai masalah yang berlaku ini, tapi adakah mereka boleh menangani masalah ini secara bersama atau hanya tutup mata saja.

“Kebetulan saya memang ada pertemuan dengan Shopee untuk satu kes lain yang kami terima iaitu penjualan pemacu kilat yang mengandungi karya filem dan lagu tempatan yang dijual secara haram di platform itu.

“Saya harap dengan pertemuan yang diadakan nanti kami mencapai satu solusi baharu yang boleh dibuat bagi menangani isu cetak rompak melalui data-data yang mereka miliki,” katanya yang akan turut bertemu dengan platform e-dagang lain secara berkala.

Artikel oleh: Harian Metro

BINCANG HAPUSKAN CETAK ROMPAK DIGITAL

https://www.hmetro.com.my/rap/2024/07/1109777/bincang-hapuskan-cetak-rompak-digital