KUALA LUMPUR- Kempen mendahulukan produk bumiputera atau Muslim (BMBF) tidak sepatutnya dilihat sebagai minyak yang dicurah untuk menyemarakkan lagi api perkauman di negara ini.
Sebaliknya, matlamat sebenar kempen tersebut adalah untuk mempromosikan produk-produk keluaran bumiputera dan Muslim yang memang telah ada di dalam pasaran dan dalam masa yang sama memberikan pilihan yang lebih meluas kepada pengguna.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, langkah mempromosikan produk bumiputera dan Muslim ini penting bagi menaikkan taraf ekonomi kaum bumiputera dan orang Islam di negara ini melalui perniagaan.
Katanya, pada jangka masa panjang, langkah sebegini mampu mengukuhkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia kerana jurang ekonomi mengikut bangsa dapat dirapatkan.
“Orang Melayu ini memang dikenali sebagai bangsa yang lemah-lembut, bertolak ansur dan tidak provokatif tetapi sifat-sifat ini kadang-kala dipandang orang sebagai lemah.
“Apabila sudah dipandang sebagai lemah, mereka senang dihina dan diambil kesempatan oleh orang lain.
“Jadi kita tidak mahu dihina, kita perlu mengukuhkan orang Melayu melalui ekonomi kerana yang sama apabila semua rakyat di sesebuah negara itu kaya, isu perkauman tidak lagi timbul.
“Kempen ini bukan untuk menyemarakkan api perkauman tetapi adalah untuk mengajak kaum bumiputera dan orang Islam supaya bersama-sama meningkatkan ekonomi kita.
“Selama ini orang kata kita tidak bayar cukai (yang banyak), mereka sahaja yang bayar cukai jadi apabila usahawan-usahawan Muslim ini telah berjaya, mereka juga akan bayar cukai sama seperti kaum lain. Sekarang kita hendak bayar cukai dengan apa jika kita miskin?
“Dalam jangka masa panjang kita semua dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya.
Tidak menafikan kempen itu tercetus susulan pelbagai isu panas melibatkan perkauman dan kenegaraan seperti tulisan khat dan bendera terbalik, Nadzim menjelaskan setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Kesedaran mula timbul dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Mereka tidak mahu tidak terus diperlekehkan oleh orang lain dan ini menyebabkan kaum bumiputera bersatu untuk mencapai matlamat tersebut.
Tambahnya, melalui kempen ini juga ramai yang telah sedar mengenai barangan keluaran bumiputera yang boleh dijadikan pilihan di pasaran.
“Melalui kempen ini pengguna semakin mengenali produk-produk keluaran bumiputera dan orang Islam, tidak salah jika mereka membeli barangan bukan Islam tetapi apabila pilihan telah disediakan saya rasa lebih baik mereka memilih produk keluaran orang Islam sendiri kerana usahawan-usahawan ini membayar zakat.
“Zakat pula kita akan salurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Maka ekonomi negara akan terus berkembang,” tambahnya lagi.
Nadzim juga meminta syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) memberi peluang kepada produk-produk bumiputera untuk dipasarkan di premis-premis milik mereka.
Katanya, produk-produk keluaran bumiputera juga mempunyai kualiti setaraf produk kaum lain.- MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
#BMBF: KITA TIDAK MAHU TERUS DIHINA – PPIM
https://malaysiagazette.com/2019/09/03/bmbf-kita-tidak-mahu-terus-dihina-ppim/