KEMPEN Buy Muslim First atau BMF telah bermula lama sebelum diledak oleh kempen yang digerakkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sehingga mencetuskan kesedaran umat Islam di negara ini.
Dari segi sejarah dan asasnya, BMF sudah bermula sejak dari zaman Rasulullah lagi sebaik sahaja baginda sampai ke kota Madinah selepas berhijrah dari Kota Mekah.
Rasulullah pada ketika itu membuat sebuah pasar untuk umat Islam berniaga secara berasingan daripada bangsa Yahudi yang sudah lama menguasai ekonomi Madinah demi untuk tidak terlibat dalam urusan perniagaan berasaskan riba.
Selain matlamat memperkasakan penguasaan dalam bidang perniagaan, prinsip paling utama dalam kempen yang digerakkan itu adalah membebaskan diri daripada sistem riba ciptaan kapitalis.
Alhamdulillah pada tahun ini, kempen BMF yang sebelum ini dicemuh dan tidak langsung diyakini, termasuk oleh segelintir umat Islam sendiri mula menampakkan hasil.
Contoh terbaik kepada ‘kelahiran’ model perniagaan baharu itu tidak lain tidak bukan adalah pembukaan pusat beli-belah serba moden berkonsepkan Islam di Cyeberjaya iaitu Malakat Mall.
Diilhamkan oleh pengasasnya, Coach Mohd. Fadzil Hashim, Malakat Mall diwujudkan untuk memberi peluang dan bantuan kepada usahawan-usahawan Islam berkecimpung seterusnya menguasai dunia perniagaan.
Pelbagai kritikan diberikan pada mulanya. Ada yang mengatakat idea Malakat Mall sebagai idea gila dan tidak kurang juga yang hanya menunggu masa untuk melihat kegagalannya.
Bahkan pada peringkat awal, tawaran ‘perniagaan tanpa sewa’ di pusat beli belah itu juga tidak banyak disahut oleh usahawan.
Pendek kata ramai yang lebih mencurigai dan membuat andaian sebelum sempat memahami konsep perniagaan yang cuba diketengahkan.
Selain berdepan cabaran persepsi, laluan perjalanan pasar raya ini juga bukan sembarangan. Penutupan operasi selepas hari ketiga dibuka ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah salah satu daripadanya.
Syukur berkat kegigihan pasukan warga kerja dan usaha tidak mengenal penat lelah oleh pihak pengurusan, pasar raya milik kumpulan Brainy Bunch yang bertapak dari ‘kosong’ ini kini semakin dikenali.
Tapi apa yang lebih penting, sambutan baik yang diterima bukan kerana sentimen BMF semata-mata sebaliknya kerana mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Tarikan terbesar sudah tentu pada pasar raya Raudhah Grocer yang kini menempatkan kira-kira 5,000 produk keluaran usahawan Muslim.
Di Raudhah Grocer anda boleh melihat produk-produk BMF yang datang dari seluruh negara berada setanding dengan produk yang sudah lama menguasai pasaran.
Bagi penulis, melalui lorong yang dipisahkan oleh rak-rak barang di situ seperti membelek katalog produk di negara asing. Penuh dengan produk-produk yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Daripada produk makanan yang dihasilkan di rumah sehinggalah barangan keperluan harian yang dihasilkan di kilang-kilang komersial.
Yang pentingnya di Raudhah Grocer, tiada keraguan untuk berbelanja kerana kesemua produk yang dipasarkan dijamin halal apatah lagi setiap pembelian dapat membantu usahawan kita untuk terus berkembang.
Rantaian manfaat daripada perbelanjaan itu juga tidak berakhir di situ kerana pertambahan pendapatan pada usahawan turyt menyumbang kutipan zakat yang pada akhirnya memberi manfaat kepada seluruh umat Islam.
Selain cawangan utama di Cyberjaya, idea Malakat Mall sebagai pencetus ekosistem ekonomi Islam yang mesra pelanggan dijangka akan melebarkan sayap perniagaan dengan pembukaan dua lagi cawangan iaitu di Masjid Tanah dan Melaka Tengah tidak lama lagi.
‘Penyatuan’ ekonomi ini juga diharap dapat menghakis monopoli dan menundukkan keegoan syarikat pengeluar jenama utama melalui produk pesaing yang selama ini tidak diangkat di pasaran.
Bak kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau Toqqi, usaha atau kempen BMF mungkin kecil pada mata individu tetapi memberi kesan dan impak yang cukup kuat pada ekonomi orang Islam.
Artikel oleh: Malakat Tribune
BMF : TERUSKAN MELANGKAH, JANGAN TOLEH KEBELAKANG
https://www.malakattribunenews.com/2020/07/bmf-teruskan-melangkah-jangan-toleh-kebelakang/