Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BOIKOT ADALAH SATU BENTUK JIHAD – SINAR HARIAN – 10/11/2023
14 Nov 2023

GERAKAN boikot produk dan jenama yang menyokong Israel kembali bergema. Usaha itu dilihat begitu rancak dan agresif apabila ramai orang yang mempromosikan kempen itu di media sosial masing-masing.

Kempen boikot itu dilakukan oleh kalangan rakyat yang enggan membeli produk atau daripada syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Israel susulan kekejaman rejim itu ke atas penduduk Palestin.

Sinar Islam ingin menyatakan pendirian bahawa kami teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin kerana ia melibatkan isu kemanusiaan.

Ketika artikel ini ditulis, angka korban akibat serangan tentera penceroboh Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu sudah mencecah 10,022 orang dan mencederakan lebih 25,000 yang lain.

Melihat jumlahnya yang kian meningkat dan tiada tanda-tanda gencatan senjata dipersetujui oleh Israel, ramai yang mengambil tindakan memulaukan produk atau syarikat yang menyokong rejim itu kerana berpandangan, ia solusi ampuh melumpuhkan ekonomi mereka.

Namun begitu, di sebalik ‘peperangan’ itu, ada segelintir orang yang turut terjejas sumber pendapatannya.

Tindakan memboikot produk yang kononnya ada hubung kait dengan ekonomi Israel itu adalah pilihan peribadi.

Kalau sampai mencemuh mereka yang bekerja di restoran atau syarikat tertentu, itu bukan wajar menjadi amalan, apalagi diteladani orang lain.

Bagaimanakah panduan atau etika dalam menjayakan strategi boikot tersebut menurut Islam?

Hukum terlibat dalam boikot

Sinar Islam merujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah bagi mendasari perkara itu.

DR LUQMAN

Dari segi hukum, jelas beliau, gerakan boikot perlu dilihat mengikut keadaan. Adakalanya tindakan itu boleh menjadi wajib sekiranya produk atau syarikat berkenaan memang memberikan bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam.

“Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin, memang sepatutnya Muslim berganding bahu menunjukkan protes ke atas kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Gaza.

“Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah ‘Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia juga wajib’,” katanya.

Dr Luqman menjelaskan, boikot merupakan salah satu bentuk jihad menggunakan harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau pihak yang menyokongnya.

Justeru beliau menyarankan supaya kita berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing.

Ia sebagaimana disebut dalam firman ALLAH SWT: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah at-Talaq, ayat 7)

“Walaupun ayat itu menjelaskan tentang nafkah untuk wanita yang sedang beridah dan ibu menyusu, namun Syeikh Tahir bin Asyur menyatakan, ia turut terpakai kepada setiap infak yang dituntut kepada seorang Muslim waima wajib atau sunat iaitu berikan infak mengikut kemampuan.

“Meskipun usaha sesebuah negara yang sekecil Malaysia, di samping kempen boikot yang mungkin bermusim, sebaiknya teruskanlah apa yang mampu. Sekecil apa pun, ia pasti akan dinilai dan dilihat oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

Sikap tabayyun

Dr Luqman menjelaskan, parameter tertentu diperlukan agar tidak tergelincir daripada landasan sepatutnya.

BERSIKAP tabayyun (semak dan periksa) sebelum ketika menerima maklumat dan pastikan syarikat atau produk tersebut benar-benar jelas ada dikaitkan dengan Israel atau sokongan terhadap negara haram tersebut. -Gambar hiasan

Sebelum mengulas panjang lebar tentangnya, beliau mengingatkan tentang objektif kempen boikot berkenaan.

Tegas beliau, tujuan utama pelaksanaanya adalah untuk menekan syarikat-syarikat yang secara langsung menyokong rejim Zionis Yahudi agar menukar polisi berkaitan Israel dan Palestin.

Disebabkan itu peri pentingnya untuk masyarakat mengambil sikap tabayyun dalam menerima maklumat, ungkapnya.

“Terlebih dahulu, pastikan syarikat yang ingin diboikot benar-benar terlibat secara langsung dengan Israel.

“Langkah ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang kezaliman kepada pihak tidak bersalah,” katanya.

Walaupun usaha boikot dilakukan, beliau menegaskan, ia tidak boleh dijadikan tiket untuk kita bertindak secara melulu, apalagi menghukum orang lain seperti pekerja syarikat terlibat.

“Kita hendaklah melaksanakan kempen boikot dengan berhikmah serta tidak bertindak secara ekstrem dan melulu.

“Sebagai contoh, memaki hamun pekerja di syarikat terbabit memandangkan mereka sekadar mencari rezeki.

“Begitu juga dengan usaha mensabotaj seperti merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan serta menularkannya di media sosial untuk menjatuhkan imej,” tegasnya.

Kes terpencil

Kepada satu soalan, Dr Luqman menjawab: “Hukum pekerja makan gaji di syarikat francais yang membayar royalti kepada syarikat induk yang mungkin terlibat dengan menyumbang kepada negara haram Israel adalah harus.

“Gaji yang diterima mereka juga halal selagi syarikat tempat mereka bekerja tidak membantu Israel secara langsung seperti memberi sumbangan atau lain-lain.”

Bagaimana pula andai ada pihak yang tidak mampu menjayakan gerakan boikot secara menyeluruh gara-gara kekangan tertentu seperti berhadapan dengan masalah kesihatan jika menukar kepada jenama lain?

SUDAH tiba masanya umat Islam berfikir dan tidak terlalu bergantung terhadap produk-produk berasaskan kepada Barat, sebaliknya mengetengahkan barangan buatan Islam sendiri. -Gambar hiasan

Menjawab persoalan itu, Dr Luqman mempunyai perspektifnya tersendiri. Dalam konteks tersebut, pengecualian dalam kes terpencil seperti itu perlu diambil kira.

“Sebagai contoh, terdapat pihak yang tidak mampu menjayakan keseluruhan boikot jenama-jenama tertentu kerana suatu perintang seperti masalah kesihatan dan ubat diperlukan hanya dikeluarkan oleh jenama tertentu sahaja.

“Begitu juga halnya dengan anak kecil yang hanya boleh minum susu jenama tertentu. Andai ditukar, ia akan menyebabkan masalah alahan dan lain-lain,” katanya.

Elakkan daripada menganiaya pihak lain

Senada dengan Dr Luqman ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

DR WAN SALIM

Beliau menegaskan, usaha boikot itu seharusnya disasarkan terhadap produk daripada syarikat-syarikat yang mempunyai bukti meyakinkan dan jelas memberi sumbangan kepada Israel.

Ia bukan sekadar andaian atau sangkaan semata-mata, ujarnya.

“Sebagai umat Islam, kita hendaklah menegakkan keadilan walaupun terhadap orang bukan Islam.

“Bagaimanapun, dalam usaha untuk membela pihak yang teraniaya, jangan pula sampai menganiaya pihak lain,“ katanya kepada Sinar Islam.

Promosikan produk umat Islam

Di sebalik kempen boikot yang bergema kini, sudah tiba masanya umat Islam berfikir dan tidak terlalu bergantung terhadap produk-produk berasaskan kepada Barat.

Inilah saatnya Muslim yang mempunyai populasi 2 bilion di seluruh dunia memupuk kesedaran untuk mempromosikan produk umat Islam sendiri secara lebih meluas. Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I‘jaz al-Quran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan, dengan konsumernya yang terdiri daripada golongan Muslim sendiri, ia boleh meningkatkan ekonomi ummah secara keseluruhannya.

DR MOHD SUKKI

“Boikot (produk sokong Israel) sahaja pun tidak akan selesaikan masalah kerana ia bermusim. Bila tiada isu, keadaan kembali kepada asal (sepertimana yang berlaku sebelum ini).

“Ia berbeza dengan (pendekatan) apabila kita memfokuskan kepada peningkatan produk Muslim itu sendiri. Maknanya, kena betul-betul ada kerjasama di peringkat antarabangsa dalam kalangan negara-negara Islam untuk giatkan usaha ini terutama melibatkan sektor makanan dan keperluan-keperluan harian,“ katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Dr Mohd Sukki berkata, tindakan boikot itu bukan sekadar memberi tekanan ekonomi terhadap negara haram tersebut, tetapi dari satu sudut, ia turut mengajar orang ramai supaya mengambil makanan yang sihat dan bernutrisi.

Walaupun Islam mengajar umatnya supaya bersangka baik, tetapi beliau mengakui, perkara itu sukar untuk diduplikasikan terutama dalam perihal konflik Israel-Palestin. Justeru, beliau menyarankan agar pihak syarikat terjejas memberi penjelasan untuk membersihkan nama sekiranya benar mereka tidak terlibat ataupun menyokong rejim Zionis Israel.

“Selagi mana mereka tidak mampu berbuat demikian, sukar untuk halang orang pandang serong kerana dalam dunia kini, terdapat pelbagai jenis perniagaan francais.

“Ada yang memberi sumbangan (kepada negara haram Israel) dan ada pula tidak buat begitu. Sukar untuk orang awam bezakan. Disebabkan itu ramai yang ‘pukul rata‘ terhadap isu ini,“ katanya.

‘Senjata‘ masyarakat

Sinar Islam mendapatkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi mengulas tentang peranan dimainkan pengguna Muslim dalam isu kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam di Gaza.

Beliau menyifatkan, pendekatan pemulauan produk yang menyokong Israel umpama ‘senjata‘ bagi masyarakat.

“Kita tiada apa-apa kalau hendak pergi berperang, tetapi boikot boleh kita lakukan.

“Malah, (dengan cara ini) kita berupaya mempengaruhi orang lain dan rakan-rakan di negara lain untuk berbuat demikian,“ katanya baru-baru ini.

Sedar atau tidak, ujar Nadzim, inisiatif itu sebenarnya berkait rapat dengan kuasa pengguna itu sendiri.

“Mungkin kita tiada kuasa, tetapi sebagai pembeli, kita boleh boikot produk atau syarikat yang terang-terang menyokong rejim Zionis Israel,“ ungkapnya.

Dalam perjuangan, katanya, pasti ada pengorbanan. Begitu juga halnya dalam gerakan boikot tersebut.

NADZIM

Beliau mengingatkan agar umat Islam tidak mudah kendur semangat walaupun terdapat segelintir orang yang terpaksa mencari peluang pekerjaan lain demi menjayakan usaha tersebut.

“Inilah yang dinamakan perjuangan. Pasti ada kecederaan dan berdepan pelbagai masalah,“ katanya.

Meskipun demikian, Nadzim mengingatkan agar syarikat-syarikat gergasi terbabit tidak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangya tidak membayar gaji pekerja.

Seiring dengan gerakan boikot tersebut, PPIM bakal melancarkan kempen Buy Muslim First (BMF) International pada 11 November ini.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dewan-dewan perniagaan dan jenama terkenal antarabangsa yang melibatkan 20 buah negara.

“Kami berhasrat untuk menarik satu dunia dalam hal ini. Ini kerana tidak ramai orang Islam di luar negara nampak kesan daripada kuasa ekonomi.

“Jadi kita hendak gunakan tindakan boikot sebagai senjata kita berhabis-habisan menentang agenda tersebut. Ini bermakna, ia bukan sekadar usaha memboikot sesuatu jenama sahaja, malah kita mahukan supaya produk tersebut diambil semula oleh mereka. “Mudah kata, pendekatan kita kali ini bukan lagi proaktif, tetapi lebih provokatif,“ ujarnya dan berharap agar usaha itu berterusan dan tidak hanya bermusim seperti kempen-kempen boikot sebelum ini.

Artikel oleh: Sinar Harian

BOIKOT ADALAH SATU BENTUK JIHAD

https://www.sinarharian.com.my/article/633934/sinar-islam/islam-sejagat/boikot-adalah-satu-bentuk-jihad