KUALA LUMPUR, 21 Mei – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menjelaskan berhubung tindakan ahlinya yang memboikot jualan dan pembelian produk yang menyokong rejim Zionis.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM hanya mahu pengguna bijak berbelanja dan tahu ke mana perginya wang mereka disalurkan dalam urusan harian.
“Semua rakan niaga dan ahli PPIM tidak rasa dipaksa memboikot dan tidak terbeban dengan tindakan itu mengapa menuduh kami berbuat keganasan di tanah air sendiri?” katanya.
Nadzim mengulas laporan media yang memetik kenyataan Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad tidak setuju dengan tindakan boikot tersebut.
Mohamad Shukri dilaporkan menyebut, “Takkan Israel buat ganas maka kita nak mengganas di tempat kita, tidak boleh begitu. Kita perlu menunjukkan contoh yang baik.”
Sehubungan itu, Nadzim meminta pencerahan lanjut daripada Mohamad Shukri berhubung kenyatannya.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Mufti Kelantan tidak bersetuju tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang melancarkan kempen boikot terhadap jenama dikaitkan dengan Israel sebagai solidariti kepada Palestin.
Mohamad Shukri turut mendakwa, cara PPIM menyerbu premis untuk memboikot barangan konon pro Israel walaupun dengan niat bersolidariti bertentangan dengan akhlak Islam.
Menjelaskan tindakan itu, Nadzim menjelaskan, PPIM tidak menyerbu mana-mana premis secara sebarangan tetapi hanya pergi ke premis ahli PPIM yang mahu membuang dan memboikot barangan pro Israel.
Artikel oleh: Wacana.my
BOIKOT BUKAN TINDAKAN PENGGANAS – PPIM