Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BOIKOT PUSAT BELI-BELAH BENARKAN BAWA MASUK HAIWAN PELIHARAAN – SINAR HARIAN – 17/12/2025
17 Dec 2025

SHAH ALAM – Umat Islam digesa supaya memboikot sebuah pusat beli-belah yang membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis kerana tindakan tersebut jelas tidak menghormati kaum majoriti di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, gerakan itu penting bagi memberi pengajaran kepada pengurusan premis terbabit atau mana-mana pihak yang bercadang untuk melakukan tindakan serupa.

“Kita sebagai umat Islam perlu ada harga diri dan tindakan boikot merupakan langkah terbaik sebagai protes terhadap pihak yang tidak menghormati orang Islam.

“Saya yakin kalau semua umat Islam boikot, peniaga yang berniaga di pusat beli-belah itu akan terjejas.

“Ini kerana umat Islam dan Melayu merupakan kuasa beli besar di negara ini. Kalau orang tidak hormat kepada kita, ini cara terbaik untuk membalas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sunway Square Mall mencetuskan fenomena baharu apabila menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia secara rasmi membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis.

Perkara itu tular selepas beberapa gambar memaparkan seekor anjing dibawa menggunakan troli khas di dalam pusat beli-belah berkenaan, termasuk di hadapan sebuah panggung wayang menarik perhatian masyarakat.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM juga bersedia jika ada mana-mana pihak ingin menganjurkan kempen atau gerakan untuk memboikot pusat beli-belah tersebut.

Beliau berkata, rakyat khususnya umat IsIam, masih mempunyai banyak pilihan sekiranya kempen boikot terhadap premis berkenaan dijalankan secara besar-besaran.

“Besar harapan kita supaya umat Islam bersatu untuk menolak sebarang tindakan yang tidak menghormati kaum dan agama terbesar di Malaysia ini.

“Usaha ini langkah terbaik memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

BOIKOT PUSAT BELI-BELAH BENARKAN BAWA MASUK HAIWAN PELIHARAAN

https://www.sinarharian.com.my/article/760806/berita/nasional/boikot-pusat-beli-belah-benarkan-bawa-masuk-haiwan-peliharaan