Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BOIKOT RUMAH SEMBELIHAN GAGAL IKUT PROTOKOL – UTUSAN MALAYSIA – 26/04/2022
26 Apr 2022

PETALING JAYA: Beberapa pihak tampil mencadangkan supaya umat Islam memboikot da­ging dari rumah sembelihan di Australia yang gagal mematuhi protokol pe­­nyembelihan bagi me­ngelakkan masyarakat Islam mengambil makanan haram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekatan terus ke atas syarikat ‘bermasalah’ tidak akan merugikan negara.

“Kalau sudah jelas ada keraguan dan ada bukti berlaku ke­salahan, kerajaan patut bertindak serta merta untuk tidak mengimport makanan daripada syarikat tersebut.

“Kita perlu ada banyak pilihan dan tidak perlu terikat dengan satu rumah penyembelihan di luar negara. Dengan ada banyak alternatif rumah penyembelihan, tindakan tegas boleh diambil di samping meneruskan urusan dengan rumah lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dituntut tidak melengahkan siasatan melibatkan dakwaan sembelihan haiwan di Australia yang melanggar protokol.

Menurut laporan yang disokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebelumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat dalam ke­perluan penyembelihan halal.

Mohd. Azmi turut mengharap­kan Jakim mengetatkan lagi kawalan mengeluarkan logo halal kerana ia dilihat tidak terkawal sehingga berlaku isu-isu seperti ini.

“Isu ini bukan isu baharu, da­ging yang masuk ke Malaysia kerap menimbulkan persoalan status halal. Justeru, membenarkan pemantauan secara berkala perlu dibuat untuk mendapat kepercayaan kita.

“Sebagai negara Islam, kita terpaksa mengeluarkan logo halal ini bagi setiap barang dan ia tidak terkawal, kalau ambil kaedah mengimport barang halal sahaja pasti tiada masalah.” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah memboikot rumah-rumah penyembelihan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) boleh dilakukan jika ia adalah langkah terbaik bagi mengatasi isu berkenaan.

“Bagaimanapun, ia hendaklah dilakukan dengan mengambil kira semua aspek kerana takut rakyat pula memboikot kita disebabkan bekalan makanan terutama da­ging kekurangan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan perlu tegas dalam menguruskan pentadbiran seperti melaksanakan undang-undang yang ditetapkan.

“Negara kita tiada fear factor yang mampu menakutkan orang untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan betul.

“Contohnya, apabila kita tidak membuat catatan atau berlengah dalam menentukan rumah-rumah penyembelihan yang patut dilakukan pemantauan, mereka beranggapan bahawa kita hanya mengambil mudah,” jelasnya.

Mengulas lanjut isu tersebut, beliau mendedahkan pihaknya masih menunggu dokumen me­ngenai lebih banyak isu daging yang diimport dari negara-negara luar yang dipercayai tidak mendapat perakuan sijil halal. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BOIKOT RUMAH SEMBELIHAN GAGAL IKUT PROTOKOL

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/boikot-rumah-sembelihan-gagal-ikut-protokol/