Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim johan memberitahu , budaya pengotor masyarakat kita harus dipupuskan kerana ia merupakan cara hidup yang tidak sihat selain mengundang pelbagai kesan negetif termasuk menjadi punca pelbagai penyakit.
” Sebenarnya saya sangat geram dengan subjek ini (kebersihan) kerana orang kita buat tidak endah sahaja. Tabiat buruk kita telah menjadi budaya yang amat buruk yang mampu mencetuskan pelbagai masalah termasuk kematian.
” Ada yang sanggup duduk makan tepi longkang. Tidak peduli walaupun keadaan menjijikan. Apabila nampak tikus lalu mereka cuma mengangkat kaki dan terus sambung makan. Esoknya mereka pergi lagi ke kedai yang sama,” katanya kepada Kosmo!
Jelasnya, budaya pengotor di dalam kalangan masyarakt kita perlu dihentikan sebaliknya pupuklah sifat pentingkan kebersihan.
” Kanak-kanak perlu didedahkan dengan sifat pentingkan kebersihan sejak kecil lagi. Ia mungkin boleh diajar di sekolah. Ibubapa juga boleh mendidik anak-anak mereka supaya tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.
Selain itu jelasnya, untuk memastikan pengusaha premis makanan menjaga kebersihan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti mengambil tindakan tegas terhadap perniaga makanan atau premis yang kotor.
” Mungkin PBT boleh meletakkan nombor telefon di setiap premis supaya pelanggan dapat membuat aduan manakala PBT segera mengambil tindakan terhadap aduan yang dibuat,” katanya.
Beliau percaya sekiranya cara itu dilakukan, peniaga akan lebih waspada terhadap tahap kebersihan di premis mereka kerana tidak mahu tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka