KUALA LUMPUR, 09 Februari 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Anti Diskriminasi Dan Salah Laku dan Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV) memaklumkan jumlah sebenar mereka yang mengalami kesan sampingan selepas vaksin mungkin akan meningkat lagi ke angka ribuan dalam masa sebulan.
“Dari jumlah ini, sebahagian besarnya adalah membabitkan kesan radang jantung dan saraf. Kami juga dapati berbagai kesan sampingan lain yang dialami oleh orang ramai,” kata PPIM dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, PPIM akan mengadakan sidang media pada 10 Februari 2022 (Khamis) bagi memaklumkan perkembangan pencapaian sambutan orang ramai mengenai Pusat Aduan Terkesan Vaksin (PATV) semenjak sepuluh hari yang lalu.
“Pemakluman ini merupakan tindak balas dan luahan rakyat yang terkesan akibat setelah divaksin,” tambah PPIM.
Menurut pertubuhan itu lagi, data-data yang diperoleh dan dikumpulkan adalah merupakan perkongsian maklumat daripada pakar-pakar yang telah membuat kajian terkini dari universiti-universiti.
Terdahulu, berita melaporkan mengenai kesengsaraan seorang ibu tunggal, Christina Selvamoney selepas menerima dos penggalak.
Hasil ujian menunjukkan terdapat gumpalan kecil darah beku di saluran darah di bahagian atas jantungnya.
“Beberapa hari pertama dimasukkan ke HKL, beberapa orang doktor memberitahu jari-jari saya berada dalam keadaan tidak baik dan jika keadaan memburuk, jari boleh mengecut dan perlu dipotong,” kata Christina.
Artikel oleh: Samudera.my
BUKAN RATUSAN, TAPI RUBUAN ADUAN BAKAL DITERIMA PUSAT ADUAN TERKESAN VAKSIN – PPIM