Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mencadangkan supaya fasa pertama pelaksanaan cukai itu hanya ke atas pelancong dari negara luar sahaja.
Beliau percaya bahawa kadar cukai pelancongan sehingga RM20 ke atas hotel bertaraf lima bintang tidak akan mempengaruhi keputusan pelancong asing untuk bercuti di negara ini.
Sebaliknya, Cheng Guan yakin dengan cara itu kerajaan dapat menambah dana bagi mempromosi pelancongan dan pada masa sama rakyat tempatan tidak terbeban dengan cukai baharu itu.
“Saya berpendapat ini merupakan satu situasi menang-menang bagi semua pihak dan pada masa sama dapat meredakan sedikit ketegangan yang timbul antara beberapa Menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu, pelaksanaan cukai pelancongan akan tetap diteruskan bermula 1 Julai ini yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel.
Mengulas lanjut, Cheng Guan berkata, beliau sedar mengenai peruntukan kementerian yang berkurangan secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kejatuhan harga minyak dan gas asli dunia.
Namun, beliau percaya bahawa ada beberapa cara lain yang boleh diterokai secara bersama bagi memastikan cukai itu diterima dengan baik oleh semua pihak dalam usaha kementerian menambah pendapatan dan meningkatkan industri pelancongan negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan juga senada dengan Cheng Guan dengan menegaskan bahawa lebih wajar cukai pelancongan itu dikenakan kepada pelancong asing berbanding rakyat tempatan.
“Dengan peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan cukai ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat tempatan. Kalau mereka mahu bercuti di dalam negara pun dikenakan cukai, saya fikir pelaksanaan ini akan memberi beban kepada rakyat,” jelasnya.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula berkata, pelaksanaan cukai itu tidak praktikal kepada rakyat tempatan, lebih-lebih lagi dengan perubahan trend percutian di negara ini.
“Saya beri contoh musim perayaan, ada dalam kalangan rakyat yang tidak tidur di rumah keluarga disebabkan ruang kecil dan sebagainya, jadi mereka memilih tidur di hotel. Adakah mereka wajar dikenakan cukai? Adakah mereka boleh dikira sebagai pelancong di kampung sendiri?” ujar beliau.
Presiden Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harith Mohd. Ali pula bersetuju sekiranya cukai pelancongan dikenakan hanya kepada pelancong asing sahaja dan menegaskan langkah itu pada masa sama mampu membantu pelancong serta sektor pelancongan tempatan.