Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CADANGAN WUJUD PASUKAN PANTAU RUMAH SEMBELIHAN SUKAR DILAKSANAKAN – UTUSAN MALAYSIA – 18/07/2022
20 Jul 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan berdepan kekangan untuk melaksanakan cadangan melantik pasukan pemantau di rumah-rumah sembelihan di luar negara susulan isu pelanggaran protokol sembelihan halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, hal itu disebabkan oleh faktor perundangan di negara berkenaan termasuk peraturan di premis sembelihan tersebut.

“Cadangan itu baik, tetapi, kita terhalang dari segi undang-undang kerana tempat tersebut tidak boleh dimasuki secara sembarangan di samping dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Sebab itu sebelum ini pegawai kita buat serbuan dan jika ada dakwaan kita akan melihat rakaman CCTV di rumah-rumah sembelihan berkenaan bagi diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa Jakim menggunakan khidmat imam di masjid atau pelajar Malaysia di Australia yang bertauliah untuk membantu mengendalikan tugasan pemantauan di rumah sembelihan di negara berkenaan.

Katanya, pemantauan serius perlu dilakukan bagi memastikan kejadian sama melibatkan Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia tidak berulang.

Akhbar ini sejak Selasa lalu mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di Brisbane, Queensland.

Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih, namun, cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul.

Sementara itu, Idris mengesahkan situasi semasa berkaitan isu daging import halal Australia ketika ini adalah terkawal. –UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia

CADANGAN WUJUD PASUKAN PANTAU RUMAH SEMBELIHAN SUKAR DILAKSANAKAN

https://www.utusan.com.my/berita/2022/07/cadangan-wujud-pasukan-pantau-rumah-sembelihan-sukar-dilaksanakan/