SHAH ALAM 11 Jan. – Caj 20 sen yang dikenakan ke atas penggunaan beg plastik di Selangor tidak diserahkan kepada kerajaan negeri sebaliknya diambil oleh peniaga.Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata, bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peniaga sama seperti semua produk lain yang dijual.
Walau bagaimanapun jelasnya, peniaga telah disyorkan supaya menyalurkan hasil kutipan tersebut untuk program-program tanggungjawab sosial lorporat (CSR) masing-masing.
“Caj minimum 20 sen adalah syarat penetapan kadar harga terendah yang perlu dikenakan untuk setiap penggunaan beg plastik, tetapi bergantung kepada peniaga untuk menetapkan harganya dan ia dijual seperti barangan runcit yang lain.
“Peniaga bagaimanapun disyorkan menyalurkan kutipan itu untuk CSR atau kepada badan-badan amal yang melakukan usaha pemuliharaan alam sekitar khasnya ataupun pertubuhan kebajikan amal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bermula 1 Januari lalu, kerajaan negeri melarang penggunaan beg plastik dan setiap satu daripadanya akan dikenakan caj 20 sen jika diminta oleh pengguna.
Mengulas lanjut, Elizabeth memberitahu, objektif pelaksanaan larangan itu adalah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik pakai-buang.
“Pada awal pelaksanaan kempen ini sudah tentu ramai orang tidak biasa tetapi sebelum ini telah pun dilaksanakan di Melaka dan Pulau Pinang,” jelasnya.