Kuala Lumpur: Memalsukan tandatangan, tidak memberikan penyata akaun serta jumlah pinjaman sentiasa berubah-berubah menjadi taktik sebuah koperasi mengenakan caj tidak masuk akal kepada seorang pensyarah pusat pengajian tempatan.
Dengan potongan yang tinggi kononnya sebagai bayaran perkhidmatan, koperasi berkenaan turut memaklumkan terdapat maklumat yang salah di dalam perjanjian dan apabila diubah, jumlah keseluruhan pinjaman meningkat berkali ganda.
Taktik itu dikesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima aduan daripada pensyarah berkenaan baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mendapati ada koperasi mengenakan caj melebihi ceti haram dengan pelbagai alasan tidak masuk akal yang diberikan.
“Mangsa yang meminjam RM20,000 daripada koperasi berkenaan pada 2016 dan hanya menerima RM9,000 selepas ditolak kos perkhidmatan,” katanya.
Katanya, tempoh pinjaman terbabit selama 10 tahun dan dia kemudiannya membuat pinjaman bertindih dengan institusi kewangan setahun selepas itu.
“Ketika dia mahu melangsaikan bayaran, timbul masalah apabila jumlah pinjaman daripada RM20,000 kepada RM22,000.
“Jumlah mengikut penyata adalah RM11,508 dan saya meminta lebihan baki dan dimaklumkan koperasi sebelum ini tersalah kira jumlah yang perlu dibayar,” katanya.
Nadzim berkata, siasatan pihaknya menunjukkan jumlah yang perlu ditambah adalah sebanyak RM11,837 menyebabkan pengadu tidak berpuas hati.
Katanya, siasatan pegawai juga mendapati berlaku peningkatan pada potongan gaji dan selepas disemak, ia berpunca daripada potongan koperasi terbabit yang dibuat tanpa pengetahuannya.
Katanya, semakan dokumen mendapati, tandatangannya sudah digunakan individu lain sebagai kebenaran pemotongan terbabit dan dia tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
“Saya kesal bagaimana hal ini boleh berlaku kerana pengadu sepatutnya menerima baki bayaran penuh yang dibuat, bukan menanggung hutang lebih sekali ganda,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya berharap mana-mana koperasi di negara ini menjalankan urus tadbir yang betul bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul.
Katanya, orang ramai disarankan membuat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk tindakan lanjut jika menghadapi sebarang kesulitan.
“Perlu urus tadbir yang betul kerana sepatutnya koperasi memberi manfaat kepada semua ahli. SKM yang mengendalikan hal ehwal koperasi, jadi boleh rujuk mereka,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
CAJ KOPERASI LEBIH TINGGI DARI CETI HARAM – PPIM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/622284/caj-koperasi-lebih-tinggi-dari-ceti-haram-ppim