Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CARI PENYELESAIAN BAHARU TANGANI KENAIKAN HARGA BARANG – UTUSAN MALAYSIA – 10/12/2021
10 Dec 2021

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus kepada isu kenaikan harga barangan dengan mewujudkan mekanisme baharu bagi mencari jalan penyelesaian dan membuang dasar-dasar lama yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, antara yang pernah beliau cadangkan adalah menubuhkan jabatan tugas khas dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh dan di akar umbi.

“Ahli-ahli politik perlu fokus mencari penyelesaian masalah kenaikan harga dan bukan hanya mementingkan matlamat serta agenda politik.

“Kita tahu cara lama tidak mendatangkan hasil, tetapi mengapa masih menggunakannya?” katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, langkah kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bagi menstabilkan harga barangan hanya bertahan untuk jangka masa pendek kerana sikap memanipulasi oleh orang tengah masih wujud.

Jacob berkata, orang tengah adalah ‘kambing hitam’ dipersalahkan oleh pengguna dalam isu kenaikan harga barangan kerana mereka juga terkesan dengan kenaikan harga berdasarkan beberapa faktor kenaikan tersebut.

“Bagaimana seorang peniaga yang juga orang tengah antara pembekal dan pembeli ingin menjual sesuatu barangan dengan harga murah jika mereka juga mendapat bekalan tersebut pada harga tinggi?

“Jika pengguna ingin mendapatkan harga barang murah dari A ke Z, apa akan jadi kepada pembekal-pembekal barangan tersebut? Seperti petani, nelayan dan penternak yang menjadi talian untuk menyampaikan makanan kepada pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna perlu mengikut budaya baharu dan mendidik pengguna membeli barangan keperluan atau harian.

“Pada saya ini adalah kelemahan pengguna, kita kena berubah dan didik pengguna menjadi bijak supaya kenaikan harga barang ini dapat diatasi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut perlu memainkan peranan dengan mewujudkan dasar baharu kerana penggunaan cara lama dan lapuk serta berhenti mengharapkan keputusan berbeza jika masih menggunakan cara tersebut kerana itu hanya memberi kesan kepada pengguna serta peniaga.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

CARI PENYELESAIAN BAHARU TANGANI KENAIKAN HARGA BARANG

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/cari-penyelesaian-baharu-kenaikan-harga-barang/