Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CEROBOH TANAH: TINDAKAN MESTI ADIL, JANGAN ADA KOMPROMI – ISMAWEB – 27/10/2020
27 Oct 2020

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kerajaan negeri Pahang digesa bertegas dengan penceroboh tanah haram di Raub tanpa sebarang kompromi.

Ini kerana, tindakan pencerobohan yang dilakukan oleh pekebun haram dilakukan secara besar-besaran – membabitkan 4,400 hektar tanah.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, cubaan ‘menghalalkan’ sangat tidak adil kerana tanah berkenaan sejak awal lagi diteroka dengan cara yang salah.

“Mereka (penceroboh) perlu melalui proses biasa seperti dikenakan denda dan pelbagai tindakan lain berdasarkan Kanun Tanah Negara.

“Kita mahu perkara ini telus dan rakyat tidak mahu dipelopori dengan apa-apa alasan. Kita juga tidak mahu pihak tertentu dapat layanan tidak masuk akal.

“Malah, perkara ini juga tidak perlu ditutup dan biarlah melalui proses yang adil dan saksama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kumpulan pekebun haram di Raub – kononnya kerajaan Pahang sudah menyediakan pelan bagi menghalalkan tanah yang mereka terokai.

Save Musang King Alliance (SAMKA) mendakwa, rata-rata pekebun bersetuju dengan pelan tersebut, bagaimanapun menolak kehadiran pihak ketiga yang dituduh cuba mengaut keuntungan secara melampau.

SAMKA mendesak supaya rancangan korporat yang kononnya merampas dan meraih keuntungan daripada hasil kerja pekebun perlu dihentikan.

SAMKA turut mendakwa, aktiviti penanaman durian oleh pekebun di keenam-enam buah kampung itu mula dijalankan sejak tahun 1960-an, manakala pada 1970-an mereka mengusahakan tanah itu di bawah rancangan ‘Buku Hijau’ kerajaan.

“Selama ini, mereka juga pernah memohon permit atau pun lesen penanaman terhadap kerajaan negeri melalui saluran rasmi.

“Bagaimanapun, sebahagian besar permohonan tersebut ditolak,” dakwanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Artikel oleh: Ismaweb

CEROBOH TANAH: TINDAKAN MESTI ADIL, JANGAN ADA KOMPROMI

https://ismaweb.net/2020/10/27/ceroboh-tanah-tindakan-mesti-adil-jangan-ada-kompromi/