KUALA LUMPUR 22 Sept. – DAP diingatkan agar tidak bersikap mementingkan diri sendiri dengan mempertahankan penganjuran pesta arak Better Beer 2017 sebaliknya perlu memikirkan faktor ancaman keselamatan pengunjung.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pesta seperti itu bukan sahaja mengundang risiko serangan ekstremis dan puak militan malah boleh menyebabkan masalah lain seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Katanya, berdasarkan statistik, kebanyakan kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada pemandu yang meminum arak dan beliau menganggap ahli politik yang cuba mempertahankan pesta itu hanyalah bertindak untuk ‘memancing undi’ tanpa mengambil kira aspek keselamatan pengunjung.
“Saya tidak rasa ada agama menggalakkan umatnya meminum arak kerana ia boleh mengundang banyak masalah lain lebih-lebih lagi apabila ada pesta sebegini.
“Pengganas yang kini semakin giat melakukan serangan berani mati juga akan menjadikan pesta ini sebagai sasaran mereka kerana dilihat bercanggah dengan fahaman di negara kita yang memegang Islam sebagai agama rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya melarang penganjuran pesta tersebut yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas kerana dikhuatiri menjadi sasaran serangan kumpulan militan.
Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, sokongan DAP terhadap penganjuran pesta arak memperlihatkan kecenderungan parti tersebut dalam liberalisme beragama dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Beliau melihat sokongan yang diberikan oleh DAP sebagai satu usaha terancang bagi merosakkan akidah generasi muda Islam dan bukan Islam.
“Pengambilan minuman keras dan memabukkan bukan sahaja ditegah dalam agama Islam tetapi turut dilarang dalam agama lain kerana kesannya amat buruk terhadap diri individu dan nilai masyarakat itu sendiri,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-jangan-pentingkan-diri-1.529787#ixzz4tTFMsZu4
© Utusan Melayu (M) Bhd