Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DATUK KERAMAT WAJAR DIBERI STATUS TANAH PEGANGAN KEKAL SEPERTI CHERAS – PPIM – SINAR HARIAN – 12/06/2026
15 Jun 2026

KUALA LUMPUR – Pemilik tanah di Datuk Keramat wajar diberikan pertimbangan untuk menukar status tanah pajakan kepada pegangan kekal, sebagaimana dinikmati sebahagian besar kawasan di Cheras.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam kenyataannya berkata, tiada alasan munasabah untuk menafikan pertimbangan sama kepada penduduk di kawasan penempatan tradisi Melayu itu sekiranya kawasan lain telah menikmati status pegangan kekal.

Menurut kenyataan itu, Datuk Keramat mempunyai nilai sejarah, warisan dan identiti yang amat signifikan kepada masyarakat Melayu bandar, selain menjadi antara penempatan tradisi utama Melayu di ibu negara bersama Kampung Baru dan Kampung Pandan.

“Isu ini perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PPIM turut menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menegaskan hasrat penduduk Datuk Keramat supaya status tanah di kawasan itu ditukar kepada pegangan kekal.

Sehubungan itu, persatuan itu juga berharap Johari dapat menerajui penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan merancang usaha penukaran status tanah berkenaan secara menyeluruh.

Menurut PPIM, langkah itu perlu dilaksanakan secara telus dan mengambil kira kepentingan jangka panjang penduduk setempat.

“Penyelesaian yang adil serta mampan bukan sahaja mampu melindungi hak pemilik tanah, malah memelihara warisan masyarakat Melayu bandar untuk generasi akan datang,” tambah kenyataan.

Artikel oleh: Sinar Harian

DATUK KERAMAT WAJAR DIBERI STATUS TANAH PEGANGAN KEKAL SEPERTI CHERAS

https://www.sinarharian.com.my/article/783561/edisi/selangor-kl/datuk-keramat-wajar-diberi-status-tanah-pegangan-kekal-seperti-cheras—ppim