KUALA LUMPUR, 26 Mei — Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dinasihat untuk mendengar keluhan pengguna khususnya yang menggunakan perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa pengguna sudah cukup teraniaya dengan pelbagai isu dan kini ditambah pula dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang menggusarkan semua pihak.
“Mereka bayar tiket untuk menaiki tren, dan kebanyakkan mereka untuk urusan bekerja. Saya yakin tiada antara mereka yang suka-suka menaiki LRT terutama pada ketika negara dilanda wabak COVID-19,” katanya.
Nadzim mempersoal tidakkah pihak pengurusan Prasara berasa malu dengan pelanggan mereka sendiri.
“Kutip duit orang tapi perkhidmatan kerap tergendala dan kali ini sehingga mencederakan pengguna,” katanya
Nadzim turut mempersoal mengapa tiada permohonan maaf dari mana-mana pihak kepada pengguna yang terjejas?
“Bukan nak minta maaf, malah dipersenda pula kejadian dengan menyamakannya seperti dua gerabak tren “bercium”, apa yang Pengerusi itu cuba buat? Adakah nak buat lawak untuk menceriakan orang ramai yang sedang susah hati?” katanya.
Nadzim turut berkata, adalah lebih baik syarikat pengurusan pengangkutan awam negara itu memilih pengerusi yang lebih berkaliber, berintegriti dan sesuai dengan jawatan yang disandang.
“Cukup-cukuplah lantikan politik ke jawatan penting seperti pengerusi GLC, habis melingkup semuanya, ” tegas Nadzim.
Nadzim diminta mengulas keluhan netizen yang mendakwa Tajuddin tidak peka dan mempersendakan kejadian dua tren LRT bertembung di dalam terowong berhampiran stesen KLCC Isnin lalu.
Turut tular petisyen dalam talian bagi mengumpul tanda tangan mendesak Tajuddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana selepas rakyat membidas perbuatannya didalam sidang media berkenaan insiden tersebut.
Artikel oleh: Wacana.my
DENGAR KELUHAN PENGGUNA LRT – PPIM