Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DICERAI LEBIH SAKIT, BERBANDING KANSER – WACANAKINI – 01/05/2022
10 May 2022

KAMPUNG CHANGKAT : Cinta diuji ketika susah dan sakit, itulah realiti walaupun pahit.

Netizen kagum melihat keikhlasan cinta artis era 80 an iaitu Edika Yusof yang sanggup menerima dan menemani perjalanan hidup bersama isterinya yang lumpuh sejak 16 tahun lalu.

Edika dikurniakan wajah yang tampan tetapi diuji isteri serba kekurangan, namun tidak berkurang sedikitpun kasih sayangnya.

Malangnya, bukan semua orang seperti Edika dan bertuah seperti isterinya.

Seorang bekas pemandu pelancong, Rika Agusmanto, 37, yang dahulunya cantik sempurna kini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di kerusi roda.

Perkahwinan yang dibina pada tahun 2015 akhirnya terlerai sehari sebelum Ramadan lalu setelah empat tahun bersama Rika berjuang melawan kanser darah.

Rika redha menerima takdir insan dicintainya berlalu pergi bersama cinta baharu yang disulam tatkala Rika tak berupaya menjadi isteri.

“Dicerai lebih sakit berbanding menanggung kanser tetapi inilah takdirnya untuk diri saya.

“Dahulu saya disayangi kerana sempurna, kini saya dibuang kerana tidak memiliki apa-apa.

“Saya tidak boleh melawan sesuatu yang sudah ditetapkanNya, saya perlu kuat selagi hayat dikandung badan,” katanya yang menderita kanser sejak didiagnosis empat tahun lalu.

Rika menetap bersama ibu dan anak-anak saudaranya di Kampung Changkat, Gombak.

Walau tiada wakil rakyat turun padang melihat keadaannya, tetapi Rika bersyukur kerana menerima sumbangan zakat dan pelbagai bantuan lain daripada orang ramai termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam kunjungan bersama media ke rumahnya, PPIM turut menyumbangkan pek makanan Infaq Ramadan kepada Rika.

Wanita cekal itu fasih berbahasa Mandarin, English selain bahasa ibunda bahasa Melayu dan seringkali mengajar bahasa Mandarin kepada jiran tetanga.

Dalam pada itu, ibu kepada Rika iaitu Netty Shahril meluahkan keadaan hidup mereka bukanlah senang kerana masing-masing tidak mempunyai pasangan sebagai sumber sokongan kewangan.

“Bukan mudah, segalanya saya perlu usahakan sendiri demi membantu nasib anak saya, saya berniaga pasar pagi dan malam ada kalanya untung begitulah sebaliknya.

“Namun hidup perlu diteruskan kerana Tuhan kurniakan sepasang mata di hadapan bukan di belakang kepala, kita tidak tahu berapa banyak masa yang ada di dunia ini tetapi meneruskan kehidupan itu adalah satu-satu jalan yang ada dan bukan pilihan,” katanya.

Artikel oleh: WacanaKini

DICERAI LEBIH SAKIT, BERBANDING KANSER

https://www.wacanakini.com/2022/05/dicerai-lebih-sakit-berbanding-kanser/