KUALA LUMPUR , 16 Jun 2021 – Seorang pelajar perubatan di sebuah universiti tempatan mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum mendapatkan vaksin COVID-19.
Dakwa Nik Farah Ellisha Mohd Razif, 22 beliau sudah memaklumkan kepada pihak universiti beliau tidak mahu mendapatkan vaksin tersebut.
“Namun akibat didesak pihak universiti, akhirnya saya setuju mendapatkan vaksin jenama pilihan saya dan memaklumkan kepada pihak universiti pada April lalu,” katanya.
Menurut Nik Farah pihak universiti memberitahu akan memberikan tarikh temu janji kepadanya bagi mendapatkan vaksin.
“Sehingga pada hari peperiksaan pada 8 dan 9 Jun lepas, saya tidak mendapat tarikh temu janji untuk vaksinasi dan ketika saya hadir untuk menduduki peperiksaan penting tersebut, pihak universiti telah melarang dan meminta saya meninggalkan dewan,” katanya.
Tambah Nik Farah beliau telah memohon untuk menduduki peperiksaan tersebut secara berasingan namun permohonannya ditolak.
Nik Farah hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields diiringi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Sehubungan itu, PPIM mendesak satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh dijalankan.
“Pelajar ini merupakan pelajar perubatan, dia faham kepentingan serta kebaikan dan keburukan vaksin, jadi ketika beliau menolak pengambilan vaksin, beliau faham risikonya,” katanya.
PPIM dimaklumkan pelajar tersebut menunggu vaksin pilihannya dan sehingga kini masih belum mendapatkan tarikh temu janji dan tidak menolak vaksinasi.
Menurut Nadzim pihak universiti tidak sepatutnya memaksa pelajar sebaliknya mendidik mereka dan menjelaskan dengan baik.
“Mengapa sehingga menyusahkan pelajar, mereka ini masa depan negara, beliau boleh menyumbang kepada negara di masa depan,” katanya.
Tindakan universiti menyekat peperiksaan pelajar dengan alasan tidak mendapatkan vaksin adalah tidak masuk akal.
Artikel oleh: Wacana.my
DILARANG DUDUKI PEPERIKSAAN, PELAJAR BUAT LAPORAN POLIS
https://www.samudera.my/dilarang-duduki-peperiksaan-pelajar-buat-laporan-polis-ppim/