“SAYA tidak pernah salahkan ibu dan tahu ketika itu dia terdesak lalu menggunakan saya untuk buat pinjaman berikutan adik mahu membayar yuran pengajiannya,” kata pemuda yang mahu dikenali sebagai Syamel, 22.
Gara-gara itu juga, dia terpaksa merengkok di penjara kira-kira lapan bulan selepas menyerahkan kad bank bersama nombor pin kepada individu yang menawarkan pinjaman segera sebanyak RM10,000 pada tahun lalu.
Menurutnya, dia tidak pernah menerima satu sen wang pinjaman itu tetapi ditahan polis kira-kira selepas dua minggu menyerahkan barang dan maklumat terbabit.
“Polis kata akaun saya disalah guna sebab ada kemasukan duit dan sebanyak 17 kes dilaporkan terhadap saya wang berjumlah RM144,000.
“Saya dibawa dari balai ke balai macam ‘roadshow’, bermula dari Kuala Muda dan kemudiannya ke Sik, Kedah diikuti Cheras, Petaling Jaya di Selangor, Segamat dan Johor Bahru (Johor), Seremban (Negeri Sembilan), Kuantan (Pahang), Bukit Kinrara di Puchong, Selangor hinggalah ke Penjara Kajang.
“Pengalaman duduk penjara selama lapan bulan memang menakutkan tambah pula ia bukan disebabkan kesalahan yang kita buat.
“Namun, saya diberikan pelepasan parol empat bulan lebih awal,” katanya ketika pertemuan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM Dr Mazlina Abu Bakar dan Presiden Persatuan Pengguna Bersepadu Malaysia (PPBM) Thomas Thin.
Syamel berkata, ketika ini dia terpaksa menganggur berikutan mengalami kesukaran mencari kerja selain tidak boleh membuka akaun bank yang baru.
Ibunya yang juga seorang tukang cuci, Zulaika, 46, berkata, dia sedih mengenangkan nasib anaknya itu berikutan terpaksa menanggung kesilapannya.
“Waktu itu, anak nak bayar yuran bagi pengajian jururawat berjumlah RM8,000 tetapi saya tidak mempunyai jumlah sebanyak itu jadi saya nekad buat pinjaman segera.
“Pada mula memang guna nama mak cik nak buat pinjaman tetapi tidak boleh berikutan individu terbabit berkata umur saya terlalu tua. Jadi saya minta tolong anak tetapi lain pula jadinya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jeff, 28, berkata, kehidupan gelapnya bermula ketika dia cuba mencari kerja.
“Waktu itu, saya nampak iklan ditampal di kedai mamak yang mencari pemandu lori dan tanpa ragu-ragu saya terus hubungi nombor terbabit.
“Selepas berjumpa dengan individu terbabit, dia kemudian menyuruh saya membuka akaun bagi tujuan kemasukan gaji.
“Duit semua dia bagi tetapi selepas itu diberitahu yang saya perlu serahkan kad itu berikutan wang simpanan itu adalah duit syarikat dan kad hanya diberikan selepas saya masuk kerja,” katanya yang tinggal di Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia tidak pernah dapat panggilan daripada syarikat terbabit selepas itu tetapi terpaksa merengkok dalam penjara hampir tiga bulan selain terpaksa membayar denda sebanyak RM14,500.
Nadzim pula berkata, pihaknya sedang cuba berbincang bersama pihak polis dan juga Pejabat Peguam Negara mengenai mangsa sindiket penipuan ‘mule account’ (keldai akaun).
“Kita mahu membantu mangsa yang teraniaya dengan perbuatan orang lain. Ini adalah penipuan terkini dan cukup berat berikutan ia membabitkan hukuman penjara berikutan wang dimasukkan ke dalam akaun mangsa,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
DIPERDAYA JADI ‘KELDAI AKAUN’ [METROTV]
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/10/505637/diperdaya-jadi-keldai-akaun-metrotv