Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DISKAUN SAMAN TRAFIK TINGGAL 4 HARI, NGO MINTA LANJUTKAN MASA – UTUSAN MALAYSIA – 28/12/2021
29 Dec 2021

PETALING JAYA: Peluang membayar saman terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diskaun 80 peratus yang bermula 9 Disember lalu kini berbaki empat hari lagi.

Bagaimanapun, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) memohon tarikh tersebut dilanjutkan susulan banjir yang melanda lapan negeri dengan Selangor paling teruk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, sejak PDRM mengumumkan tarikh lanjutan saman hingga hujung tahun ini, kebanyakan kaunter bayaran trafik polis peringkat negeri dan daerah lengang.

Menurut beliau, dengan baki hanya empat hari lagi, orang ramai diminta mengambil peluang membayar saman tanpa perlu bersesak-sesak atau menanti saat akhir.

“Kesempatan ketika ini mengelakkan orang ramai melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kaunter bayaran jadi sementara lengang ini orang ramai perlu ambil peluang,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, ditanya sama ada tempoh diskaun itu akan dilanjutkan susulan lapan negeri terjejas banjir, Mat Kassim memberitahu, keputusan tersebut akan dibuat dan dimaklumkan Ketua Polis Negara.

“Kita akan tengok keperluan sama ada dilanjutkan atau tidak kerana jumlah mereka yang tidak menjelaskan saman telah berkurang,” ujarnya.

Diskaun saman tersebut diumumkan sempena sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang pada mulanya selama empat hari bermula 9 Disember.

Bagaimanapun, susulan masalah laman sesawang PDRM yang tersangkut manakala kaunter bayaran sesak, polis melanjutkan tarikh diskaun sehingga hujung tahun ini.

PDRM merekodkan sebanyak RM109 juta saman dikutip apabila 2.3 juta pesalah trafik membayar saman itu dalam tempoh empat hari ia diumumkan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tawaran diskaun perlu dilanjutkan bagi meringankan beban mereka terutama yang terjejas akibat bencana banjir.

Menurut beliau, ini kerana ramai rakyat sedang melalui kesusahan bencana dan berdepan kekangan untuk menguruskan hal-hal saman.

“Keadaan rakyat kini sangat kritikal dan paling kurang mungkin boleh dilanjutkan di kawasan yang terjejas akibat banjir,” jelasnya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, tawaran diskaun yang dilanjut tersebut bukan sahaja melegakan rakyat tetapi turut menandakan ‘kerajaan mesra rakyat’.

Menurut beliau, keprihatinan kerajaan ketika ini adalah penting kerana ramai yang bercelaru bukan sahaja akibat Covid-19 tetapi ditambah pula masalah bencana banjir.

Kata Jacob, pihaknya sudah mengemukakan surat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai isu lanjutan saman tersebut dan memperoleh maklum balas positif.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, ketika ramai berdepan tempoh sukar, lanjutan tawaran diskaun saman memberi imej baik kerajaan kepada rakyat.

Menurut beliau, polis patut menawarkan lanjutan masa untuk dua hingga tiga bulan lagi bagi memudahkan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka selepas dilanda bencana bencana.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

DISKAUN SAMAN TRAFIK TINGGAL 4 HARI, NGO MINTA LANJUTKAN MASA

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/12/diskaun-saman-trafik-tinggal-4-hari-ngo-minta-lanjutkan-masa/