Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DPMM JOHOR LANCAR MISI BALAS JASA [METRO TV] – HARIAN METRO – 23/12/2021
24 Dec 2021

Johor Bahru: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor menyediakan barangan keperluan bernilai RM100,000 sebagai misi balas jasa untuk mangsa banjir di Negeri Sembilan dan Selangor.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, sumbangan itu dikumpulkan ahli DPMM Negeri Johor dan akan disampaikan terus kepada mangsa banjir pada misi bantuan banjir dua hari, bermula hari ini.

Katanya, program Bantuan Kecemasan Mangsa Banjir fasa pertama itu akan menumpukan mangsa banjir di Jelebu dan Hulu Langat sebelum bantuan kepada mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan negeri lain, selepas Krismas nanti.

“Program bantuan kecemasan mangsa banjir ini adalah kerjasama antara DPMM Johor, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Johor.

“Hari ini DPMM Johor berjaya mengumpulkan 400 kotak barangan keperluan mendesak seperti sabun pencuci, pencuci lantai, penyembur air berkuasa tinggi, sejadah, telekung, kain pelikat dan batik, al-Quran selain makanan dan lampin pakai buang.

“Bagi fasa pertama sumbangan ini kita menumpukan kepada barang keperluan mendesak. Manakala fasa kedua iaitu bantuan pasca banjir, ibu pejabat DPMM di Kuala Lumpur sudah meminta ahli di seluruh negara untuk mengumpulkan barangan elektrik seperti mesin basuh periuk nasi elektrik dan barangan elektrik lain, untuk disumbangkan kepada mangsa banjir seluruh negara,” katanya.

Muhammed Farhan Basheer. FOTO FARID NOH
Muhammed Farhan Basheer. FOTO FARID NOH

Beliau berkata demikian pada acara pelepasan konvoi Bantuan Kecemasan Mangsa Banjir Fasa Pertama ke Negeri Sembilan dan Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammed Farhan, berkata misi bantuan banjir kecemasan itu diadakan sebagai membalas sumbangan dermawan serta tenaga sukarelawan negeri lain, ketika banjir besar yang menenggelamkan bandar Kota Tinggi, Januari lalu.

“Apabila kawasan mereka pula dilanda musibah banjir, kami sudah berikrar akan membantu kembali dengan menyalurkan barangan keperluan diperlukan selain menyediakan sukarelawan untuk kerja pembersihan.

“Misi banjir kali ini juga turut akan membantu usahawan Melayu yang yang terjejas banjir.

“Selain barangan keperluan dibawa, DPMM Johor juga akan menggantikan barangan perniagaan mereka yang terjejas terutama peralatan perniagaan mereka,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

DPMM JOHOR LANCAR MISI BALAS JASA [METRO TV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/791971/dpmm-johor-lancar-misi-balas-jasa-metrotv