DUA individu bergelar Datuk antara dalang penipuan lot tanah secara besar-besaran membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM9 juta sejak enam tahun lalu.
Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi berkata, modus operandi digunakan sindiket terbabit ialah menjual tanah milik orang lain yang belum bertukar hak milik dengan tawaran harga rendah dari nilai pasaran.
Katanya, semua mangsa kerugian antara RM80,000 hingga RM160,000 wang simpanan, malah ada yang mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membuat pinjaman persendirian kerana berminat dengan tawaran itu.
“Dua Datuk itu tidak pernah memberi sebarang perjanjian bertulis untuk membayar semula atau memberi tanah seperti yang dijanjikan kepada mangsa iaitu di sekitar Gombak dan Hulu Langat. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati mangsa kerana mereka sudah membayar penuh, tapi akhirnya janji tinggal janji,” katanya.
Justeru itu katanya, satu dasar baru perlu dikaji bagi melindungi negara dan rakyat dari ancaman penipuan seperti ini yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
http://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/06/237901/dua-datuk-auta