KUALA LUMPUR (Bernama) — Lima tahun lepas, kehidupan Shahrina Abdul Hadi, 36, dan seisi keluarganya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dengan serba-serbi kekurangan dan sebagai penerima bantuan zakat, hanya mampu menyewa unit kediaman satu bilik tidur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Kelantan, Jalan Sentul, Kuala Lumpur.
Kesusahan yang ditanggung keluarga ini turut dirasai keempat-empat anaknya yang pernah tidur di dataran persis gelandangan atau di dalam van milik suami setiap kali mereka berdua berniaga air secara kecil-kecilan di Dataran Merdeka sehingga tengah malam untuk menampung kehidupan.
“Selalunya sampai awal pagi, anak akan tidur di situ. Pendapatan kami pun tak tetap. Akak juga tak tahu urus wang, dapat duit terus beli makanan dan keperluan anak. Duit keluar masuk macam itu saja.
“Kami benar-benar susah dan menerima bantuan zakat hingga ada ketika sampai tak mampu bayar sewa rumah dan kenderaan pula kena tarik (kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan),” kata ibu kepada lima anak berusia antara empat hingga 14 tahun yang kini menetap di PPR Wahyu, Jalan Sibu di ibu negara yang lebih selesa dengan tiga bilik.
Shahrina yang lebih mesra dengan panggilan “Kak Rina” adalah bekas asnaf penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang kini berjaya keluar dari belenggu kemiskinan selepas dibantu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sejak 2016.
LAPAN GOLONGAN ASNAF
Terdapat lapan golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat di Wilayah Persekutuan iaitu asnaf fakir, miskin, amil, muallaf, al-riqab (hamba yang ingin memerdekakan dirinya), al-gharimin (golongan berhutang), fisabilillah dan ibnu sabil (orang dalam perjalanan memenuhi syarak yang memerlukan bantuan).
Kak Rina pula tergolong dalam asnaf miskin iaitu seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya, tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan menampung tanggunggannya.
Anak kelahiran Kulim, Kedah itu adalah peniaga pertama yang mengikuti projek Pusat Perniagaan Asnaf (ABC) PPIM dan Malakat Mall, apabila diberi peluang memasarkan produknya di Raudhah Grocer di Malakat Mall di Cyberjaya.
“Alhamdulillah, dulu Akak terima zakat tapi sekarang dah boleh bayar zakat,” kata Kak Rina dengan senyuman tanda rasa puas di atas pencapaiannya hari ini.
Semua itu berkat usaha Kak Rina menghasilkan produk makanan seperti sambal ikan bilis, sambal sotong, kuah kacang, sos lada hitam dan maruku di bawah jenama “Toqqi” yang dijual di Raudhah Grocer sejak Mac lepas.
PRODUK KAK RINA
“Kami kerja dua orang je setakat ini (Kak Rina dan suami). Produk sambal ini kami sediakan di unit lot di Vila Putri milik PPIM,” katanya sambil matanya meleret memandang produk sambalnya disusun atas rak kosong (produk habis terjual) oleh kakitangan Raudhah Grocer.
Penulis ditemukan dengan Kak Rina oleh Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan iaitu individu yang bertanggungjawab menyokong keluarga asnaf itu berniaga sehingga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan sejak lima tahun lepas.
“Syukur produk laris. Akak ingin ucapkan terima kasih kepada Malakat Mall, Toqqi (Datuk Nadzim) PPIM dan Raudhah Grocer yang banyak membantu memperluaskan produk Akak hingga ke peringkat sekarang,” katanya.
“Perasaan seronok terus dirasai bila produk habis. Harapan Akak semoga Malakat Mall bagi peluang untuk perluaskan bisnes supaya Akak dapat keluar daripada kepompong kemiskinan seperti slogan Datuk Nadzim di bawah kempen bebaskan ekonomi, sokong peniaga membayar zakat,” tambah beliau.
PROJEK ABC OLEH PPIM
Mengenai Pusat Perniagaan Asnaf di Malakat Mall, Nadzim berkata projek itu dijalankan untuk memberi ruang promosi kepada kelompok peniaga asnaf yang mahu mengubah masa hadapan.
“Kita fikir tempat ini boleh dijadikan sebagai pusat promosi. Kita nak mereka ini keluar daripada asnaf dan jadi pembayar zakat. Itu yang paling penting,” katanya dan menambah bahawa projek ABC adalah usaha berterusan PPIM dengan kerjasama Malakat Mall untuk membantu menjana ekonomi umat Islam.
Malah PPIM dan Malakat Mall menanam impian “sifar asnaf” menjelang tahun 2030, hasrat yang agak tinggi untuk dicapai.
“Namun, ini tidak mustahil jika semua pihak membantu kelompok sasaran dengan membeli dan menyokong produk keluaran mereka yang berniaga di Malakat Mall,” kata Nadzim dan menegaskan hanya dengan kekuatan ekonomi masyarakat bumiputera muslim mampu mengubah nasib ummah.
Nadzim berkata, ABC juga bukan hanya mempromosikan produk asnaf dari Malaysia, malahan produk dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
SOKONGAN MASYARAKAT
Sentimen Nadzim itu turut disokong kakitangan kerajaan, Nursyazana Hasnan, 29, yang menyokong projek ABC untuk membela ekonomi kelompok asnaf.
“Bukan senang seseorang asnaf untuk bangkit kalau tiada sokongan masyarakat sendiri. Saya pun datang ke sini (Malakat Mall) sebab nak sokong produk muslim, tapi tak sangka jumpa produk asnaf ini,” kata Nursyana yang turut membeli sambal ikan bilis Kak Rina yang dijual pada harga RM6.85.
Nursyazana menyifatkan projek ABC walaupun masih di peringkat awal namun ia sebagai kejayaan besar Malakat Mall, Raudhah Grocer dan PPIM dalam membantu memasarkan produk asnaf.
“Bukan hanya membantu tetapi pahala itu lebih penting dalam mengeluarkan seseorang daripada kelompok kemiskinan kepada yang lebih baik,” katanya.
Pengurus Stor Raudhah Grocer, Syahidan Hamidon, 45, ketika ditemui menyifatkan sokongan pengguna untuk membeli produk asnaf membuktikan semua pihak menyokong projek ABC yang mendapat kerjasama antara PPIM dan Malakat Mall.
“Alhamdulillah, pengguna juga ingin membantu golongan asnaf. Sekarang kami ingin kembangkan pilihan produk (keluaran asnaf) yang ada (untuk pengguna),” kata pengurus stor yang memakai tanjak di kepalanya.
Pada satu petang Sabtu akhir bulan lepas, penulis sempat mengunjungi Kak Rina dan beliau kelihatan amat bersemangat sekali selepas 300 produk sambalnya habis terjual.
Sambil mengharapkan sokongan pengguna khususnya mereka yang berada di Cyberjaya dan Putrajaya, Kak Rina yang masih berniaga nasi lemak di tepi LRT Masjid Jamek, menetapkan sasaran membekalkan sekurang-kurangnya 300 produk sambal setiap bulan di Raudhah Grocer.
“Bagilah Akak peluang membayar zakat secara istiqamah,” kata Kak Rina yang kini menerima tempahan 480 produk sambal dan maruku daripada Raudhah Grocer untuk tempahan berikutnya.
Artikel oleh: Bernama
DULU PENERIMA KINI PEMBAYAR ZAKAT