PETALING JAYA: Arahan pemakaian gelang elektronik ke atas jemaah yang baru pulang dari menunaikan umrah seolah-olah menganggap mereka adalah penjenayah, kata Datuk Nadzim Johan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu berkata, peraturan berbeza bagi jemaah umrah dan mereka yang pulang dari destinasi pelancongan seolah-olah menganggap jemaah yang pulang dari Arab Saudi adalah golongan tersebut.
“Apakah arahan berbeza ini menunjukkan bahawa mereka yang pulang dari menunaikan ibadat menjadikan lebih rentan dari mereka yang pulang dari melancong?
“Peraturan sebegini seolah-olah mereka yang baru pulang dari Mekah adalah penjenayah yang menjalani perintah sekatan manakala mereka yang pulang dari melancong sebagai rakyat yang diringankan hukumannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nadzim, keadaan di Mekah atau London atau di mana-mana sahaja semuanya telah terdedah kepada virus Covid-19 atau varian terbaharunya, Omicron.
Beliau mempersoalkan apakah badan kesihatan dunia seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Arab Saudi sebagai negara yang mempunyai kadar jangkitan Omicron yang tinggi.
“Saya menyeru kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya menghentikan lakonan ini dan berpijak di bumi nyata serta tidak membeza-bezakan layanan terhadap rakyat yang pulang ke negara ini,” katanya.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, proses pemakaian alat penjejak oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas mereka yang mengunjungi negara luar dan menjalankan kuarantin di rumah mengambil masa terlalu lama menyebabkan jemaah umrah yang baru tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari tanah suci, ‘naik angin’.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
GELANG ELEKTRONIK: JEMAAH UMRAH DIANGGAP PENJENAYAH? – PPIM
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/gelang-elektronik-jemaah-umrah-dianggap-penjenayah-ppim/