KUALA LUMPUR – Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu.
Namun, ia hanya tinggal janji apabila graduan IPTS itu terpaksa menanggung hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM70,000.
Bekas pelajar kolej berkenaan, Noraini Muslim, 26, mendakwa, pihak pengurusan kolej menolak sejumlah yuran pembiayaan pengajian bagi setiap semester, dengan alasan kos pentadbiran antara kolej dan PTPTN.
“Pinjaman untuk program ijazah dan diploma saya berjumlah RM70,000. Satu semester saya dapat RM8,000 dan jumlah yuran pengajian kira-kira RM3,000, sepatutnya saya dapat RM4,500.
“Tapi setiap semester, pihak kolej akan tolak RM500 atas alasan kos pentadbiran. Saya tidak tahu kenapa pihak kolej buat begitu, sepatutnya tidak ada tolak lagi sebab kita pinjam PTPTN,” katanya pada sidang media selepas membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Menurutnya, perkara itu berterusan sehingga dia tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Kewangan, dua tahun lalu.
“Saya rujuk PPIM, mereka kata tidak perlu caj lagi sebab itu pinjaman dengan PTPTN, bukannya dengan pihak kolej,” katanya.
Noraini berkata, lebih mengejutkan bantuan zakat sebanyak RM400 yang diterima setiap tahun turut dipotong.
“Pelik apabila pihak kolej tolak bantuan itu sebanyak 50 peratus. Itu duit saya.
“Pihak kolej beri alasan ada yuran tunggakan dalam penyata bayaran saya. Macam mana boleh ada tunggakan yuran lagi, sedangkan wujud lebihan wang pembiayaan PTPTN daripada potongan yuran pengajian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan PTPTN memantau IPTS yang memberi janji palsu serta mengambil wang pelajar secara halus.
“Ada sesetengah kolej menggalakkan pelajar ambil kursus yang kurang permintaan kerja kerana mahukan keuntungan semata-mata,” katanya.
“Sepatutnya pihak kolej itu telus dan jelas mengenai yuran atau bayaran yang melibatkan wang pelajar. Kita tak nak orang ambil kesempatan terhadap pendidikan kerana ia isu sensitif,” katanya.
Artikel Penuh di http://www.sinarharian.com.my/nasional/graduan-tanggung-hutang-rm70-000-1.779193