KUALA LUMPUR – Global Relief Team (GRT) melancarkan Kempen CODE RED untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu haid, memartabatkan wanita dan memperkukuhkan kesihatan mental dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kempen tersebut bertujuan mengatasi stigma dan cabaran berkaitan haid yang masih wujud di kalangan masyarakat sehingga kini.
“Haid bukan lagi suatu topik yang harus dianggap tabu atau sensitif. Ia adalah fakta biologi yang dialami oleh separuh daripada populasi dunia.
“Namun, stigma, kurangnya pendidikan dan akses kepada produk kebersihan haid yang mencukupi masih menjadi cabaran besar khususnya dalam kalangan golongan B40, pelajar dan komuniti luar bandar,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran kempen itu yang diadakan di Masjid Wilayah di sini pada Khamis malam.
Kempen berkenaan dilancarkan GRT secara bersama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Masjid Wilayah dan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral.
Sempena majlis pelancaran berkenaan, Duta Global Relief Trust merangkap Felo Penyelidik Kanan dalam Kesihatan Global University St George London, Dr Farah Seedat dan Pensyarah Kanan Sosiologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Syarifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein Al-Attas turut membuat pembentangan mengenai isu kemiskinan haid.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, masalah kemiskinan haid dapat dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu pertama, kos produk berkaitan haid menjadi halangan besar bagi ramai wanita dan remaja perempuan akibat kekangan kewangan.
“Mereka tidak mampu membeli produk asas seperti tuala wanita atau tampon, yang membawa kepada ketidaksesuaian penjagaan kebersihan diri. Kedua, kekurangan pendidikan dan kesedaran iaitu ramai yang tidak mendapat maklumat tepat tentang penjagaan kebersihan semasa haid sekali gus meningkatkan risiko terhadap kesihatan mereka.
“Ketiga, malu, stigma dan pantang larang yang menyebabkan wanita berasa terasing dan enggan berbicara tentang keperluan mereka kerana sikap negatif masyarakat terhadap isu haid,” ujarnya.
Menurut Noraini, kajian yang dijalankan rakannya mendapati ada antara remaja perempuan tidak bersekolah kerana tidak mampu membeli tuala wanita dan terpaksa menggunakan sabut kelapa sebagai pengganti.
“Sebab itu beliau dan rakan-rakannya telah mengusahakan pembuatan tuala wanita guna semula dengan menggerakkan ibu tunggal untuk jahit tuala wanita guna semula ini sebelum dibekalkan kepada mereka yang memerlukan.
“Maka menjadi harapan saya agar Kempen CODE RED ini mampu memberi pendidikan tentang kepentingan penjagaan kebersihan haid seterusnya menghapuskan stigma sedia ada hari ini melalui dialog terbuka dan inklusif serta memastikan akses kepada produk kebersihan haid untuk golongan yang memerlukan.
“Saya percaya, kempen CODE RED bukan sekadar satu acara tetapi satu gerakan untuk membawa perubahan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas Global Relief Trust, Shaheed Ur Rehman memaklumkan, selain daripada isu kesihatan fizikal, kempen tersebut juga memberi perhatian khusus kepada kesihatan mental wanita.
Katanya, ramai wanita mengalami tekanan emosi dan fizikal disebabkan oleh stigma haid serta perubahan hormon semasa kitaran haid, justeru kempen terbabit akan mendorong penyediaan platform untuk berkongsi pengalaman tanpa rasa malu dan meningkatkan akses kepada kaunseling serta sokongan psikologi.
Artikel oleh: Sinar Harian
GRT LANCAR KEMPEN CODE RED UNTUK PERTINGKAT KESEDARAN ISU HAID