Kuala Lumpur: Segelintir pengusaha restoran di negara ini dikesan mengitar semula straw plastik yang digunakan pelanggan untuk menjimatkan kos walaupun tahap kebersihannya diragukan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan sikap ambil mudah segelintir pengusaha restoran berkenaan.
Nadzim berkata, perbuatan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali kerana straw plastik berkenaan sudah dianggap sebagai sampah meskipun hanya disedut beberapa kali atau tidak digunakan langsung.
“Kami terima aduan mengenai perkara ini beberapa bulan lalu. Ada pengguna nampak straw plastik berkenaan dibasuh pekerja restoran dalam jumlah yang banyak.
“Ada juga yang salurkan maklumat kepada kami mengenai tindakan sebegini yang dilakukan pengusaha dan pemilik restoran,” katanya.
Berikutan itu, PPIM menyambut baik cadangan kerajaan memperkenalkan straw mesra alam namun ia perlu diperhalusi sebaik mungkin agar tiada pihak teraniaya.
Katanya, PPIM menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang mahu cadangan itu diselaraskan dengan cara pelaksanaan terbaik bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan juga pengusaha.
“Mana yang elok kami sokong, tetapi perlu juga lihat aspek lain seperti kemampuan peniaga dan kos, jika straw baru diperkenalkan. Bukan semata-mata kenakan denda kalau ada peniaga gagal patuhi arahan itu,” katanya.
Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, larangan penggunaan straw itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2020.
Artikel Oleh : Harian Metro
GUNA BALIK STRAW TERPAKAI
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/09/380551/guna-balik-straw-terpakai