Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GURU AGAMA ROTAN MURID KERANA MINTA RAKAN BUKA SONGKOK – KENYATAAN MEDIA PPIM – 04/04/2022
04 Apr 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah sekeras-kerasnya tindakan seorang guru agama di Cheras, Kuala Lumpur yang telah merotan pelajarnya sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutamanya di peringkat sekolah.

“Apa yang hendak diajar oleh guru jika mereka bertindak ganas dan melulu terhadap pelajar terutama di peringkat sekolah rendah, maka tidak hairanlah pelajar kita semakin kurang ajar, tidak beradab dan ganas,” katanya.

Nadzim berkata tindakan guru tersebut tidak dapat diterima walaupun keluarga mangsa telah menerima permohonan maaf pihak sekolah dan guru. PPIM menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua Jabatan Agama Negeri yang mengendalikan sekolah agama perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan mental terhadap guru-guru dan kakitangan sekolah.

“Tidak adil anak-anak menjadi mangsa kerana guru tidak mampu mengawal emosi akibat masalah peribadi atau di tempat kerja, anak yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya.

PPIM turut menasihati semua ibu bapa yang menerima aduan daripada anak-anak untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan anak-anak dan membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat oleh aktivis PPIM serta peguam kami berkenaan kes mereka dan cara penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Dalam kejadian pada Selasa 29 Mac lepas, PDRM mengesahkan menerima laporan oleh bapa mangsa bahawa anaknya yang berusia 9 tahun cedera di bahagian belakang badan akibat dirotan oleh guru sekolah agama.

Lebih membingungkan, PPIM dimaklumkan kejadian berpunca apabila pelajar berkenaan meminta rakan sekelasnya membuka songkok kerana sukar melihat papan putih ketika guru mengajar.

Menurut ibu mangsa, satu perjumpaan telah diadakan pada 4 April antara wakil pihak sekolah, peguam, guru dan keluarga mangsa.

Dalam perjumpaan tersebut, majikan guru berkenaan telah memberi jaminan guru tersebut tidak akan lagi mengajar di sekolah terlibat dan telah dipindahkan serta tindakan telah diambil. Guru tersebut juga telah membuat satu kenyataan permohonan maaf dan mengakui tidak ada sebarang provokasi oleh pelajar tersebut yang menyebabkan beliau dirotan. Malah, guru tersebut turut mengaku pelajar tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak bermasalah.