Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GUSAR LIHAT ANAK TERLANTAR SAKIT – HARIAN METRO – 16/08/2021
17 Aug 2021

Petaling Jaya: Hati bapa mana tidak sedih dan gusar apabila melihat keadaan anak yang terlantar akibat lumpuh sejak Februari lalu.

Hanya ikhtiar dan berdoa kepada Tuhan dapat dilakukan Ismail Bakar, 62, buat anak sulungnya, Muhamad Iszwan, 34, yang mengalami masalah saraf serius.

Muhamad Iszwan juga baru dua hari dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Ismail yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Impian Baiduri, di sini, berkata pada mulanya Muhamad Iszwan yang menghidap gout sejak tiga tahun lalu jatuh sakit hingga tidak boleh berjalan pada Februari lalu.

“Saya bersama isteri kemudian membawanya ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut, tetapi doktor memaklumkan tiada masalah yang serius ketika itu.

“Bagaimanapun, keadaannya masih tidak pulih dan dia dimasukkan ke PPUM pada hujung Februari lalu selepas mengadu sakit seterusnya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dia ditidurkan tetapi sedar selepas empat hari, namun doktor beritahu ada jangkitan kuman dikhuatiri memberi kesan kepada buah pinggang menyebabkan kami agak risau,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ismail atau mesra disapa Along berkata, leher anaknya juga ditebuk untuk memberi bantuan pernafasan dan membuang lendir ketika berada di hospital.

Katanya, Muhamad Iszwan kemudian dibenarkan pulang ke rumah tidak lama selepas itu, tetapi hanya terlantar kerana hilang keupayaan bergerak.

“Muhamad Iszwan memang tidak boleh bergerak menyebabkan dia hanya berbaring di atas katil di ruang tamu dengan diuruskan isteri selain turut dibantu anak-anak yang lain.

“Mujurlah dia (Muhamad Iszwan) boleh makan seperti biasa tanpa menggunakan tiub tetapi saya tetap sedih melihat keadaannya kerana 90 peratus fizikalnya tidak stabil,” katanya.

Menurutnya, dia kini runsing memikirkan bagaimana cara mencari wang untuk menampung kos rawatan anaknya di hospital.

Katanya, ini kerana dia hanya bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PR) artis secara bebas selain terkesan akibat pandemik disebabkan tiada persembahan hiburan.

“Kos rawatan Muhamad Iszwan sepanjang berada di ICU sebelum ini adalah RM19,000 dan saya cuba mendapatkan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), tetapi belum ada jawapan.

“Baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital lagi dan tidak tahu berapa pula kos rawatannya dan berharap ada pihak sudi membantu meringankan bebannya,” katanya yang mendapat bantuan kerusi roda, katil dan mesin sedut kahak daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Ismail di talian 0 17-304 6564.

Artikel oleh: Harian Metro

GUSAR LIHAT ANAK TERLANTAR SAKIT

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/743097/gusar-lihat-anak-terlantar-sakit