Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HANYA DUA PENUMPANG LIMOSIN SEBULAN – KOSMO – 27/08/2021
28 Aug 2021

BALIK PULAU – Kira-kira 300 pemandu aktif teksi dan limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas di sini mengadu pendapatan mereka terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Ada di antara mereka terpaksa bertukar kerjaya sebagai penghantar makanan, pengawal keselamatan dan pemandu lori demi meneruskan hidup selepas berlaku pengurangan penumpang kerana banyak penerbangan tidak beroperasi.

Pengerusi Persatuan pemandu Limo dan Teksi LTAPP, Hafizi Ahmad berkata, terdapat pemandu yang terpaksa merelakan kenderaan mereka ditarik kerana tidak mampu membuat pembayaran bulanan.

“Pendapatan kini merosot teruk apabila hanya mampu mendapat antara satu ke dua penumpang dalam sebulan.

“Jika sebelum pandemik Covid-19, saya kebiasaannya boleh mendapat antara empat hingga lima penumpang sehari dengan anggaran pendapatan sehingga RM200,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Serahan Infak Rezeki Santuni Pemandu Limosin dan Teksi LTAPP oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.

Sumbangan berupa bungkusan barangan makanan yang diserahkan Ketua Cawangan Sumber Manusia Perkeso, Mohd. Razmi Khalid itu merupakan inisiatif agensi berkenaan dalam meringankan beban kumpulan penggiat dalam sektor pelancongan sempena Jelajah Prihatin Jubli Emas Perkeso

Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang disinggahi konvoi Perkeso itu selepas menghulurkan bantuan kepada pemandu limosin dan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bulan lalu.

Konvoi itu kemudiannya akan bergerak ke seluruh negara bagi menyerahkan sebanyak 900 kotak makanan termasuk kepada mangsa tragedi kepala air di Yan, Kedah. – K! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

HANYA DUA PENUMPANG LIMOSIN SEBULAN

https://www.kosmo.com.my/2021/08/27/hanya-dua-penumpang-limosin-sebulan/