Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HAPUSKAN RM800 TAK MASUK AKAL – KOSMO – 10/7/2017
10 Jul 2017

kosmo 10.7.2017

KUALA LUMPUR – Gesaan Indonesia supaya kerajaan Malaysia menghapuskan kompaun sebanyak RM800 untuk setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap Jabatan Imigresen disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, permintaan republik negara itu ketika Malaysia sedang membersihkan kebanjiran PATI itu seolah-olah cuba menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Menurut beliau, adalah tidak adil buat kerajaan dan rakyat negara ini selaku pembayar cukai untuk menanggung kos PATI di pusat tahanan dan kos pengurusan penghantaran pulang.

“Permintaan Indonesia tidak adil sama sekali malah menambahkan lagi beban Malaysia.

“Perbelanjaan mengusir PATI menelan belanja besar dan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Shamsuddin memberitahu, pemerintah Indonesia sewajarnya tidak meminta Malaysia menghapuskan denda keatas PATI sebaliknya tampil menanggung kos tersebut jika rakyatnya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia tidak mampu membayar denda itu.

“Saya khuatir sekiranya permintaan ini dipenuhi, ia seolah-olah menggalakkan kedatangan PATI ke Malaysia selepas ini,”katanya.

Isu penghantaran pulang PATI tercetus selepas Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri seperti dilaporkan Detik.Com, meminta denda RM800 yang dikenakan ke atas PATI yang ditangkap Jabatan Imigresen dihapuskan kerana dianggap membebankan.

Lapor portal berita itu, dengan pengecualian denda tersebut, PATI yang ditangkap tidak terbeban untuk membeli tiket pulang ke negara asal masing-masing.

Kos RM800 tersebut dilaporkan belum termasuk kos pengangkutan setiap PATI ke Indonesia.

Hanif membuat kenyataan tersebut selepas Jabatan Imigresen Malaysia sejak minggu lalu melakukan operasi besar-besaran selepas tempoh pendaftaran kad kerja sementara Enforcement Card (E-Kad) tamat pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, sekiranya permintaan Hanif itu dituruti, dengan jumlah PATI melebihi 1.1 juta, ini bermakna kerajaan Malaysia perlu mengeluarkan belanja hampir RM1 bilion untuk proses tangkapan dan pengusiran PATI.

Difahamkan, Malaysia perlu menanggung kos sebanyak RM35 sehari bagi setiap seorang PATI yang ditahan di pusat-pusat tahanan meliputi kos makanan, perubatan dan lain-lain proses dokumentasi sebelum mereka dihantar pulang.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, masalah penghantaran pulang PATI perlu diselesaikan secara bersama antara kedua-dua buah negara bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.

Katanya, Malaysia dan Indonesia sebagai dua buah negara serumpun dan memiliki sejarah perhubungan diplomatik yang begitu lama sepatutnya mampu mencapai kata sepakat dalam soal tersebut.

“Mengikut amalan perundangan biasa, sudah tentu PATI yang ditangkap perlu dikenakan denda dan mereka juga perlu menangunggung segala kos penghantaran pulang ke negara asal masing-masing,”kata beliau.