Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA BUFET TAK MASUK AKAL – SINAR HARIAN – 27/05/2019
27 May 2019

SHAH ALAM – Orang ramai melahirkan kebimbangan dengan trend harga bufet Ramadan yang semakin tak masuk akal apabila ada hotel dan restoran mewah yang menawarkan sajian berbuka puasa pada harga mencecah RM200 untuk seorang dewasa.


Tinjauan wartawan Sinar Harian di hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang di Kuala Lumpur serta Petaling Jaya mendapati lebih 27 buah hotel menawarkan pakej bufet Ramadan pada harga RM100 ke atas untuk seorang dewasa.


Lebih mengejutkan terdapat empat buah hotel pula menawarkan bufet Ramadan pada harga hampir tidak logik sehingga RM230 untuk seorang dewasa.


Pelakon cantik, Maya Karin adalah antara selebriti yang melepaskan geram dengan kegilaan masyarakat negara ini terhadap bufet Ramadan berharga ratusan ringgit yang disifatkannya tidak munasabah.
“Saya berasa sangat marah dengan harga mengarut bufet Ramadan yang ditawarkan dan masih ada lagi orang dan syarikat-syarikat yang masih membayar untuk harga itu!


“Harga RM150-200 untuk dewasa dan RM80-100 untuk kanak-kanak! Budak-budak apa yang mereka makan? Nasi sikit, ayam sikit atau spageti sikit.


“Disebabkan itu saya mengambil pendekatan enggan berbuka puasa di mana-mana hotel yang menawarkan bufet Ramadan. Ini prinsip saya. Siapa makan di sana jangan meroyan pasal ekonomi,” katanya dalam laman Twitter miliknya baru-baru ini.


Seorang suri rumah, Nur Mastura Othman, 34, dari Kuala Lumpur turut senada dengan Maya Karin apabila menganggap harga bufet Ramadan sekitar RM150 hingga RM200 sememangnya tidak masuk akal, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak juga dikenakan pada harga sekitar RM60 ke atas.


Pelakon terkenal Maya Karin pernah meluahkan rasa geramnya di laman Twitter mengenai isu harga bufet Ramadan yang melampau baru-baru ini.


“Beberapa tahun sebelum ini saya ada pergi ke bufet Ramadan. Tahun ini belum ada kesempatan lagi nak pergi tapi kalau harganya mencecah RM100 memang saya tak pergi,” katanya.


Bagi seorang peniaga, Nadirah Yaccub, 34, dari Pulau Pinang, secara peribadi, dia tidak sanggup mengeluarkan belanja mencecah ratusan ringgit bagi ‘sekali makan’ kerana kos itu mampu menampung perbelanjaan dapur dalam tempoh sebulan.


“Harga bufet Ramadan agak melampau tapi saya tengok masih ramai lagi yang pergi.
“Kalau kena keluarkan belanja sendiri pasti saya tidak mahu pergi kerana saya rasa ia membazir,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan harga bufet Ramadan semakin mahal saban tahun adalah sesuatu tidak masuk akal dan lebih kepada pembaziran.


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, senario berkenaan berlaku kerana masih ada lagi pengguna yang tetap mahu serta mampu membayar harga bufet Ramadan walaupun harganya terlalu tinggi.


“Berapa banyak sangat pengguna boleh makan (dalam beberapa jam). Kalau bufet harga RM100 tapi makan tak sampai cecah harga RM10, orang yang belanja pun akan marah kerana membazir.


“Belum lagi ada pengguna yang ambil makanan banyak tapi tak habis dimakan. Penganjur atau hotel yang letak harga terlalu tinggi memang dah salah prinsip bulan Ramadan tapi semuanya berbalik kepada kesedaran pengguna itu sendiri supaya tidak membazir untuk bufet yang terlalu mahal dan kemudiannya tidak habis makan,” katanya.


Menurut Nadzim, hotel juga cenderung untuk melakukan pembaziran apabila makanan yang tidak habis terus dibuang begitu sahaja.

Artikel oleh : Sinar Harian
 HARGA BUFET TAK MASUK AKAL
https://www.sinarharian.com.my/article/30026/SIASAT/Harga-bufet-tak-masuk-akal