Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARTA PUSAKA PERLU DIAGIH KETIKA HIDUP ELAK PEREBUTAN, GAGAL DITUNTUT – GETARAN – 07/09/2022
07 Sep 2022

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga seharusnya memaklum dan mengagihkan harta pusaka ketika masih hidup bagi mengelakkan tercetus konflik antara waris mereka, termasuk perebutan hak milik.

Menurut pendakwah terkenal, Datuk Daud Che Ngah, tindakan itu juga dapat memastikan kelancaran pengagihan harta, selain tidak menimbulkan keadaan ia sukar atau gagal dituntut.

“Gunakanlah syarikat yang boleh mengatur pemberian harta pusaka sewaktu hidup. Syarikat ini boleh uruskan wasiat, (buat) hebahan masa hidup dan sebagainya.

“Tetapi paling utama adalah urusan menghebahkannya ketika hidup. Apabila hebah ketika hidup, jadi anak-anak tidak boleh berebut kerana mak atau ayah sudah beri awal-awal,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Getaran melaporkan, hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya membabitkan umat Islam, tidak dituntut sejak 65 tahun lalu hingga hari ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, justeru semua umat Islam diseru lebih celik dan memahami sepenuhnya ilmu faraid, memandangkan ia sangat penting bagi menguruskan pentadbiran harta pusaka.

Daud berkata, kesukaran atau kegagalan menuntut harta pusaka yang disebabkan masyarakat tidak memahami ilmu faraid itu, menimbulkan pelbagai kesan negatif.

Jelasnya, kesan itu termasuk pertelingkahan antara waris dan pembekuan harta pusaka.

Ditanya punca harta pusaka tidak dituntut, beliau berpendapat, ia disebabkan kecuaian anak-anak yang enggan menyelesaikan pengurusan harta dengan segera, selain kekangan status anak angkat dan anak tidak sah taraf.

“Apabila meninggal dunia, hendak menyelesaikan (pengurusan harta) mengambil masa lama dan belanja sangat tinggi jadi sebab itu saya kata, elok mencari syarikat yang boleh kita letakkan pembahagian harta pusaka itu mengikut kehendak kita ketika hidup.

“Yang paling senang kalau ada anak itu, agih masa hidup siap-siap, sama ada hendak tukar nama atau pemegang amanah. Itu caranya. Maka tidak terjadilah isu tidak dituntut sehingga RM70 bilion terkumpul,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman mencadangkan agar satu sistem merangkumi khidmat kaunseling dan guaman diwujudkan, bagi mengingatkan masyarakat mengenai harta tidak dituntut tersebut.

Tegasnya, kerajaan juga boleh mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kaedah menguruskan harta pusaka tidak dituntut secara sempurna, dari aspek keabsahan perundangan untuk dimasukkan ke dalam Baitulmal serta digunakan bagi tujuan kebajikan.

Ma’amor berkata, perkhidmatan kaunseling diperlukan bagi mendidik individu mengenai pengurusan harta pusaka memandangkan kadang-kadang, segelintir orang tidak tahu menguruskan peninggalan aset itu.

“Saya rasa kalau untuk tiada pembaziran sumber, kerajaan juga perlu melihat kewajaran adanya fatwa untuk membolehkan harta tidak dituntut ini digunakan untuk kemaslahan umum atau ummah.

“Ini semua mesti diuruskan bahagian perundangan,” katanya. – 7 September 2022

Artikel oleh: Getaran

HARTA PUSAKA PERLU DIAGIH KETIKA HIDUP ELAK PEREBUTAN, GAGAL DITUNTUT

https://www.getaran.my/artikel/semasa/30400/harta-pusaka-perlu-diagih-ketika-hidup-elak-perebutan-gagal-dituntut