Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HATI-HATI BERI SUMBANGAN PEMBELIAN VAN JENAZAH – PPIM – MALAYSIA POST – 05/07/2022
06 Jul 2022

ORANG ramai dinasihatkan berhati-hati dalam menghulurkan derma  dana van jenazah kepada mana-mana pihak tidak kira yang terkenal atau tidak bagi mengelakkan penyalahgunaan wang sumbangan tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun tidak salah orang bukan Islam membantu kutipan dana itu yang dikhususkan untuk kegunaan orang Islam, namun perlu tahu ke mana wang disalurkan.

“Usaha kita untuk bersedekah itu adalah amalan yang mulia dan tidak harus diteruskan jika ada perasaan ragu-ragu.

“Kita tidak mahu menidakkan kerja amal atau kebajikan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, malah kerjasama sesama rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus dipuji.

“Namun, jika penderma ada perasaan ragu-ragu, banyak tindakan yang boleh diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tular berkenaan kutipan derma oleh orang persendirian bukan Islam untuk sebuah van jenazah bagi kegunaan Institut Kanser Negara (IKN).

Menurutnya, penderma boleh rujuk kepada IKN untuk mendapatkan kepastian sama ada agensi kerajaan itu ada memohon sumbangan van jenazah dari orang awam.

Selain itu, Nadzim turut mengingatkan orang awam terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menyediakan perkhidmatan urus jenazah secara percuma.

“Jangan terpedaya, bukan sahaja bukan Islam, ramai juga orang Islam yang berselindung disebalik pangkat ustaz yang menyalahgunakan agama dan mengenakan cas tinggi dalam pengurusan jenazah yang sepatutnya menjadi satu fardhu kifayah dikalangan umat Islam,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila aktivis pengurusan jenazah mendedahkan seorang individu bukan beragama Islam membuat kutipan dana untuk van jenazah bagi kegunaan IKN.

Menurut Nadzim, antara persoalan dibangkitkan adalah akaun bank digunakan bagi kebanyakan kerja amal individu berkenaan adalah melalui akaun peribadi.

“Adakah individu berkenaan menyediakan penyata akaun yang telus serta sejauh mana kebenaran pihak IKN memohon sumbangan sebuah van jenazah dari orang awam memandangkan IKN merupakan agensi atau entiti kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

HATI-HATI BERI SUMBANGAN PEMBELIAN VAN JENAZAH – PPIM

https://malaysiapost.com.my/2022/07/05/hati-hati-beri-sumbangan-pembelian-van-jenazah-ppim/