Peniaga beragama Islam juga perlu sedar risiko yang menimpa sekiranya mengambil bahan dari luar terutama negara bukan Islam seperti Thailand
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa umat Islam di negara ini meneliti dan menyelidik mana-mana makanan terlebih dulu sebelum membeli.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan bukannya diletakkan di bahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semata-mata.
“Kalau hendak beli barang, kena tengok lebih sikit. Jangan beli dengan hidung, beli dengan mata. Jangan sekadar bau makanan itu sedap, terus beli.
“Makanan yang masuk ke dalam perut adalah perut kita bukannya perut Jakim. Jadi, beringatlah sebelum makanan sesuatu makanan,” katanya kepada FMT.
Nadzim berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Jakim yang menasihatkan agar pengguna tidak menggunakan sambal ikan nasi kerabu segera dalam paket keluaran negara asing.
Ia kerana, sambal ikan nasi kerabu segera yang dijual dalam paket tersebut dikatakan diperbuat daripada daging ular sawa dan lebih mengejutkan ialah logo halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim turut tertera di paket itu.
Nadzim berkata peniaga beragama Islam juga perlu sedar risiko yang menimpa sekiranya mengambil bahan dari luar terutama negara bukan Islam seperti Thailand.
“Pengusaha kita tidak perlu bahan dari Thailand. Makanan atau bahan dari Malaysia saja sudah mencukupi.
“Bukan setakat sambal ikan nasi kerabu ini saja, tetapi kadang-kala sos dari Thailand juga perlu diteliti kerana kita tidak tahu sama ada ia menepati kehendak agama atau tidak,” katanya.
Jakim dalam kenyataannya semalam menyatakan produk berkenaan bukan lagi pemegang sijil halal dari The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT). Malah tindakan mahkamah diambil kerana pengalahgunaan logo halal.